Friday 22 November 2013

22 : Kesian diorang, mesti sejuk!

Sudah 2 hari bumi Tanah Merah ditimpa hujan yang agak lebat. Suhu dalam rumah terasa begitu sejuk. Anak-anak liat mandi pagi, mana tidaknya, kami mandi menggunakan air yang di tadah di dalam kolah, menyewa rumah kampung, biasalah. Mahu menjerang air untuk anak-anak rasa memanjakan sangat. Bila malam pula, lain ceritanya. Masing-masing sudah bersedia dengan selimut masing-masing untuk kalis sejuk.

Ketika saya di Mesir dahulu, saya kurang gemar waktu musim sejuk. Bukanlah tidak menghargai nikmat cuaca, tetapi mungkin saya yang tidak pandai urus emosi. Musim sejuk saya jadi kurang produktif. Bayangkan, kadang-kadang suhu mencecah - 0 darjah celcius, sejuknya Allahurabbi! Bercakap keluar wap, mahu ambil air sembahyang, mujahadahnya tinggi sungguh. Lagi pula saya pernah duduk di rumah di tingkat paling atas, sakhonah(pemanas air) tidak menjadi, pemanas udara pun tiada, ada asma pula, mujahadah terbaik saya rasa setakat ini!

Nikmat sungguh kan musim hujan di Malaysia, tidaklah serupa di Timur Tengah dan negara-negara yang secuaca dengannya. Setakat kita musim sejuk atau lebih tepatnya musim tengkujuh, hujan dan sejuk sahaja, lebih-lebih banjir.

Pernah tak kita terfikir orang-orang yang susah, kurang pendapatan?Atap rumahnya mungkin bocor, anak-anaknya tidak cukup selimut untuk berlindung, mungkin mereka kelaparan, musim hujan, kan selalu lapar.  Kesiannya, mereka!

Pergi jauh sikit, agaknya apa yang terjadi kepada  pelarian  Syria, Palestin dan mereka yang dicabul hak nya? Masya Allah wa tabarakallah! Tidak terkata penderitaan mereka.

Di Palestin, mesti mereka sedang kelaparan, kesejukan, menderita dan kesusahan. Mana tidaknya, mereka kan di serang lagi oleh zionis lakknatullah. Sudahlah Negara Palestin di sekat daripada kemasukan pelbagai barang dan kemudahan, termasuklah elektrik. Allah, kesiannya mereka! Tiada selimut tebal, tiada baju tebal kalis cuaca -0 darjah celcius, tiada makanan, tiada elektrik, tiada sumber air bersih, tiada sumber makanan. Allahu, dengan engkau sahajalah nusrah bagi mereka.

Di Mesir, semangat penduduknya kembali bangkit seiring hadirnya musim sejuk. Mahasiswa bangkit kembali bagi melawan kudeta, sehinggakan telah beberapa orang syahid ditembak hidup-hidup. Iya, mereka menembak dalam asrama, mereka menggeledah universiti dan sekolah bagi mencari pengganas dan pembangkang. Allahu, semangat mereka kuat, berbanding kami yang manja melawan musim sejukMu. Nusrahmu ku dambakan buat mereka di sana.

Di Syria, ada kanak-kanak yang mati akibat kesejukan. Pelarian Syria di Jordan, sudahlah mereka di tindas di bumi tersebut, perempuan-perempuannya dieksploitasi, tiada bantuan peralatan kelengkapan yang diperlukan sehinggakan mati kerana kesejukan di bumi saudara seislam mereka!

Malam tadi saya menunjukkan gambar-gambar pelarian Syria dan Palestin kepada anakanda-anakanda yang liat mandi dan kadang-kadang malas ini. Mulut mereka tak habis-habis berkata "kesiannya diorang, mesti sejuk, camana kita nak bagi selimut kita ni kat dia?"

Ya Allah, bantulah mereka yang dalam kesusahan, mudah-mudahan mereka kuat dalam menjalani ujianMu. Jadikan kami ini, hamba yang selalu bersyukur atas segala ni'mat yang telah kau kurniakan. Maafkan kami kerana tidak dapat menolong dan berkongsi rasa,  maafkan kami kerana mewah dan manja, maafkan kami selalu bergelak ketawa. Mudah-mudahan Allah menolong mereka dengan nusrahNya yang sentiasa berkunjung tiba dan mengangkat darjat mereka, ameen.

No comments:

Post a Comment