Thursday 28 November 2013

24 : Perkara sunnah di hari Jumaat

Sayyidul ayyam (penghulu segala hari.), hanya bertemu sekali seminggu sahaja. Sementelah kedatangannya pun sesekali, dia telah dijadikan hari yang begitu istimewa oleh umat Islam. Bagaimana kita perlu menyemarakkan sepanjang harinya dengan amalan yang disukai Nabi S.a.w, di mana ianya nanti bakal membekalkan pahala dan barakah yang berpanjangan.



Antara sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w yang disepakati ulama' antaranya:


                        
1)Membaca surah Al kahfi.

Rasulullah s.a.w telah bersabda : "Sesiapa yang membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat, maka Allah meneranginya di antara dua Jumaat" diriwayatkan oleh Abu Saied Al Qudri dan dikelaskan sebagai sahih oleh Imam Hakim.

2)Memperbanyakkan selawat ke atas nabi.

Dari Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah s.a.w telah bersabda :" orang yang dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat kelak, adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku".

3)Niatkan mandi sunat di hari Jumaat.

Setiap pagi kita mandi, tetapi pada hari Jumaat jadikan mandi kita mandi yang istimewa dengan berniat mandi sunat. Saranan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh An Nasaie, At Tirmidzi dan Ibnu Majah yang dikelaskan sebagai hadis sohih " Barangsiapa yang berwudhu' pada hari Jumaat, maka itu adalah baik. Namun barangsiapa yang mandi pada hari itu adalah afdhal".


4)Memperbanyakkan doa dan zikir di hari Jumaat

Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :" Di hari Jumaat terdapat satu waktu yang mana tidaklah seorang itu menunaikan solat lalu memanjatkan doa pada waktu tersebut melainkan Allah memberi apa yang diminta". Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Perkara di atas adalah antara amalan-amalan besar dan paling asas yang Rasulullah anjurkan supaya kita sentiasa bermotivasi menjalani amalan-amalan berfaedah di hari ini. Tidak terlambat lagi untuk kita sama-sama menuai amalan pada hari ini, in sya Allah.

Friday 22 November 2013

23 : Lempeng dan sambal tumis


Pagi ini tiba-tiba teringin makan lempeng cicah sambal tumis. Ketika santai memasak, anak-anak datang mengacau. Alang-alang mengacau saya memasak, terus minta dua beradik tu tolong memasak. Wah suka benar nampak!

Teringat zaman saya kecil-kecil dahulu, inilah kegemaran kami ketika bersarapan. Kalau bukan lempeng pun, jemput-jemput atau nasi goreng, kalau lempeng dan jemput-jemput tu saya lah pemasaknya. Nasi goreng kurang pandai, maklumlah masih kecil lagi waktu itu, darjah 3 seingat saya.

Teringat lagi, saya masak lempeng, siap 1, habis 1 di makan adik-adik, siap 1, habis 1, akhirnya nangis kesedihan, kelakar betul ingat zaman kecil-kecil dulu. 

Saya bercerita dengan anak-anak, kami kecil-kecil dulu makan pun berjimat, maklumlah ramai beradik. Kecil-kecil lagi dah bagi tugasan, selalunya saya bahagian masakan, mesti masak sebelum ibu ayah balik kerja, tapi masak yang asas saje lah, rumah pula mesti kena clear sebelum jam 1 petang sebelum ibu ayah balik kerja, terima kasih sungguh pengalaman lalu banyak mengajar skill kehidupan.

Esok, sudah mula sekolah semula, back to school setelah seminggu bercuti. Anak-anakpun mula kelas intensif esok mungkin sehingga akhir Disember. Kehidupan rasa tiada 'life' bila memberi laluan suami sedang sambung belajar sekarang. Aduuuh ! fasobrun jamil, pesan suamiku selalu.

22 : Kesian diorang, mesti sejuk!

Sudah 2 hari bumi Tanah Merah ditimpa hujan yang agak lebat. Suhu dalam rumah terasa begitu sejuk. Anak-anak liat mandi pagi, mana tidaknya, kami mandi menggunakan air yang di tadah di dalam kolah, menyewa rumah kampung, biasalah. Mahu menjerang air untuk anak-anak rasa memanjakan sangat. Bila malam pula, lain ceritanya. Masing-masing sudah bersedia dengan selimut masing-masing untuk kalis sejuk.

Ketika saya di Mesir dahulu, saya kurang gemar waktu musim sejuk. Bukanlah tidak menghargai nikmat cuaca, tetapi mungkin saya yang tidak pandai urus emosi. Musim sejuk saya jadi kurang produktif. Bayangkan, kadang-kadang suhu mencecah - 0 darjah celcius, sejuknya Allahurabbi! Bercakap keluar wap, mahu ambil air sembahyang, mujahadahnya tinggi sungguh. Lagi pula saya pernah duduk di rumah di tingkat paling atas, sakhonah(pemanas air) tidak menjadi, pemanas udara pun tiada, ada asma pula, mujahadah terbaik saya rasa setakat ini!

Nikmat sungguh kan musim hujan di Malaysia, tidaklah serupa di Timur Tengah dan negara-negara yang secuaca dengannya. Setakat kita musim sejuk atau lebih tepatnya musim tengkujuh, hujan dan sejuk sahaja, lebih-lebih banjir.

Pernah tak kita terfikir orang-orang yang susah, kurang pendapatan?Atap rumahnya mungkin bocor, anak-anaknya tidak cukup selimut untuk berlindung, mungkin mereka kelaparan, musim hujan, kan selalu lapar.  Kesiannya, mereka!

Pergi jauh sikit, agaknya apa yang terjadi kepada  pelarian  Syria, Palestin dan mereka yang dicabul hak nya? Masya Allah wa tabarakallah! Tidak terkata penderitaan mereka.

Di Palestin, mesti mereka sedang kelaparan, kesejukan, menderita dan kesusahan. Mana tidaknya, mereka kan di serang lagi oleh zionis lakknatullah. Sudahlah Negara Palestin di sekat daripada kemasukan pelbagai barang dan kemudahan, termasuklah elektrik. Allah, kesiannya mereka! Tiada selimut tebal, tiada baju tebal kalis cuaca -0 darjah celcius, tiada makanan, tiada elektrik, tiada sumber air bersih, tiada sumber makanan. Allahu, dengan engkau sahajalah nusrah bagi mereka.

Di Mesir, semangat penduduknya kembali bangkit seiring hadirnya musim sejuk. Mahasiswa bangkit kembali bagi melawan kudeta, sehinggakan telah beberapa orang syahid ditembak hidup-hidup. Iya, mereka menembak dalam asrama, mereka menggeledah universiti dan sekolah bagi mencari pengganas dan pembangkang. Allahu, semangat mereka kuat, berbanding kami yang manja melawan musim sejukMu. Nusrahmu ku dambakan buat mereka di sana.

Di Syria, ada kanak-kanak yang mati akibat kesejukan. Pelarian Syria di Jordan, sudahlah mereka di tindas di bumi tersebut, perempuan-perempuannya dieksploitasi, tiada bantuan peralatan kelengkapan yang diperlukan sehinggakan mati kerana kesejukan di bumi saudara seislam mereka!

Malam tadi saya menunjukkan gambar-gambar pelarian Syria dan Palestin kepada anakanda-anakanda yang liat mandi dan kadang-kadang malas ini. Mulut mereka tak habis-habis berkata "kesiannya diorang, mesti sejuk, camana kita nak bagi selimut kita ni kat dia?"

Ya Allah, bantulah mereka yang dalam kesusahan, mudah-mudahan mereka kuat dalam menjalani ujianMu. Jadikan kami ini, hamba yang selalu bersyukur atas segala ni'mat yang telah kau kurniakan. Maafkan kami kerana tidak dapat menolong dan berkongsi rasa,  maafkan kami kerana mewah dan manja, maafkan kami selalu bergelak ketawa. Mudah-mudahan Allah menolong mereka dengan nusrahNya yang sentiasa berkunjung tiba dan mengangkat darjat mereka, ameen.

Wednesday 20 November 2013

21 : Kawal aktiviti anak-anak ketika cuti

Alhamdulillah, secara amnya cuti sekolah sudah bermula. Lebih 2 bulan anak-anak akan berada di rumah bagi menghabiskan cuti sekolah. Bagi yang berkemampuan, sesetengah ibu bapa menghantar anak-anak ke kem-kem bina syakhsiah, pemantapan solat, motivasi, pemantapan akademik dan sebagainya.

Ianya satu sikap yang harus di pandang positif. Tidak salah mengorbankan sedikit wang andai suasana berlainan dari rumah dapat mendatangkan aura positif bagi anak-anak.

Tetapi jangan dilupakan pemantauan anak-anak di rumah adalah lebih berkesan. Dengan pemantauan secara langsung dari ibu dan ayah, anak-anak terasa aura kasih sayang ibu dan ayah. Mana tidaknya sebelum ini mungkin ibu dan ayah sibuk bekerja, ataupun anak-anak sibuk bersekolah, cuti sekolah mengumpulkan kesemuanya. Semua aktiviti akan berjalan dengan santai.

Bagi ibu bapa yang bekerja pula, cuba korbankan masa anda di sebelah malam untuk beraktiviti bersama anak-anak kerana pastinya anak-anak telah cukup rehat sepanjang siangnya.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit tips bagi memudahkan ibu dan ayah mengawal segala tindak tanduk anak-anak kita, jangan dibiarkan masa terus berlalu tanpa mengisi aktiviti-aktiviti berfaedah bagi anak-anak kerana ianya adalah suatu yang amat merugikan.

1. Sediakan jadual

Jadual sepanjang percutian ini amat penting untuk disediakan bagi mengisi aktiviti anak-anak. Cukup dengan jadual yang ringkas dan difahami anak-anak, tidak perlulah terlalu rigid, ianya penting bagi membezakan disiplin ketika waktu sekolah dan disiplin ketika bercuti. 

Jadual juga penting bagi mendisiplinkan masa ibu dan ayah sekalian. Dengan berjadual juga, ibu dan ayah boleh buat checklist barangan apa perlu disediakan, aktiviti apa yang perlu ditambah dan dikurangkan dan masa yang sesuai untuk beraktiviti.

2. Masa bermain/bersantai

Bermain dan bersantai banyak maksud tersirat. Aktiviti pembelajaran boleh dibuat sambil bermain. Menolong kerja-kerja rumah juga boleh dibuat sambil bersantai. Contohnya anak-anak pastinya sukakan aktiviti memasak, dalam masa yang sama menolong ibu memasak sebenarnya. Sekali-sekala minta anak-anak tolong mengemas dapur. Pada hemat saya, anak-anak pasti sukakan aktiviti baru yang jarang-jarang diperbuat sebelum ini.

Petang-petang, bermain di luar rumah. Kalau hujan pula, banyak permainan kreatif yang menunggu di dalam rumah. Apa yang penting, sebagai ibu dan ayah, korbankan sebanyak masa dan minda bagi menangani anak-anak cepat bosan. Ibu ayah yang luarbiasa adalah ibu bapa yang beramanah dengan taklifan anak-anaknya.

3. Bercuti

Sekali-sekala bercuti tiada salahnya. Malah ianya adalah saranan para ulama'. Teringat kalam Yb Mumtaz dalam siri lawatannya ke sekolah, wajibkan sedia satu masa setiap cuti untuk berehlah, bercuti atau pergi ke tempat-tempat baru untuk tambah pengalaman eksplorasi anak-anak.

Seingat saya, walaupun ibu dan ayah saya bekerja pejabat ketika kecil dahulu, ayah tidak pernah gagal mengadakan percutian bersama kami anaknya 8 orang ini. Kalau bajetnya sikit, memadai tempat-tempat yang dekat sahaja, jika ketika itu ayah dapat bonus atau bajet lebih, merasalah kami pergi tempat-tempat yang istimewa.

4. Beri anugerah bila capai target

Paling penting, berikan gelaran tokoh kepada anak-anak apabila telah mencapai target yang telah ditetapkan. Contohnya, tokoh paling rajin, tokoh terbaik sepanjang masa, tokoh paling bersih atau tokoh paling kreatif. Mesti diingat anak-anak kita mempunyai kelebihan tersendiri. Ada yang pintar dalam pembelajatan dan ada yang pintar dan cekap dalam beraktiviti. Memberi anugerah mestilah seimbang terhadap anak-anak. Mesti lihat pelbagai aspek, baru boleh dinilai. Seeloknya sediakan hadiah bagi semua anak dan bezakan hadiah antara yang terbaik dan tidak.

Selamat bercuti anak-anak, ibu dan ayah, tidak cuti ye bagi saya,hehe. Kerana cuti akhir tahun sekolah saya hanya bermula pada 17hb Disember ini. Masa bercuti bagi anak-anak adalah masa mengenal kehidupan, tetapi bagi ibu ayah pula adalah masa berkorban tuaian amal kepada anak-anak, selamat bercuti!

Tuesday 19 November 2013

20 : Sehingga Al Quran terpahat di hati



Rasulullah memberi perumpamaan terhadap peminat Al Quran dan pengabai Al Quran. Teringat dalam siri usrah-usrah di Tanta dahulu seorang sahabat menerangkan hadis nabi ini. 

Rasulullah S.A.W memberi contoh mukmin yang membaca Al Quran umpama buah uttrujjah, baunya sedap, rasanya enak. Sang sahabat saya itu pula memberi contoh ianya bagai buah durian, baunya sedap dan rasanya ramai yang meminatinya. Ramai yang tergelak. Bila difikirkan, betul! Orang mukmin yang membaca Al Quran umpama buah durian, manis dan enak seiring rahmat dan keberkatan Al Quran itu.

Mukmin yang tidak membaca Al Quran, Rasulullah umpamakan dirinya bagaikan buah tamar, enak rasanya, baunya tiada. Sahabat pula umpamakan buah ciku. Saya terkenang pokok ciku di rumah yang terkena petir beberapa tahun dahulu. Pokoknya yang tinggi dan besar terbelah dua. Terus minda membuat andaian, mungkin seperti itu seorang mukmin yang tidak meladeni Al Quran, kemarahan Allah selalu bersamanya sehingga terkena petir!

Orang munafiq yang membaca Al Quran, Rasulullah umpamakan dirinya Raihanah, suatu tumbuhan yang harum baunya, pahit pula rasanya. Sahabat umpamakan seperti minyak attar. Baunya harum tetapi bila terkena di lidah, rasanya pahit. Seisi usrah ketawa-ketawa. Seisi usrah bertanya pula, mengapa sudahlah munafiq baca Al Quran pula? Sahabat saya menjawab, sebab itu Rasulullah umpamakan munafiq itu raihanah, kerana perbuatan membaca Al Quran adalah tidak ikhlas dan menunjuk-nunjuk. Betul! Harum bagi dirinya seorang sahaja, tetapi pahit murka Allah terhadapnya.

Perumpaan yang terakhir bagi munafiq yang tidak membaca Al Quran , Rasulullah umpamakan buah hanzolah, baunya tiada, rasanya pula pahit. Sahabat saya umpamakan buah peria. Sudahlah baunya tiada, tidak menarik, rasanya pun pahit. Seorang sahabat lain menyampuk, tapi peria baik untuk kesihatan. Seisi usrah ceria. Sahabat pengupas hadis tergelak, kali ini dia tiada jawapan.

Alhamdulillah lebih 10 tahun saya masih lagi terkenangkan pengisian usrah yang menarik ini. Terima kasih sahabat atas perkongsian ini.

Tuesday 12 November 2013

19 : Tadika Integrasi Fikrah



Alhamdulillah thummalhamdalillah... akhirnya success juga Tadika Integrasi Fikrah untuk memulakan operasinya pada Januari 2014 ini. Sebenarnya cetusan idea pembukaan tadika atau lebih tepat taman didikan kanak-kanak ini daripada zaman arwah ayahandaku. Masih lagi saya ingat ayahanda ingin buka islamic cybercafe, islamic book store dan islamic playschool. Rupa-rupanya selepas ayahanda tiada semua ini baru boleh beroperasi.

Adik-adikku telah bertungkus lumus renovate, mengecat dan sebagainya. Hati yang jauh berada di Kelantan ini terliur dan rasanya macam terus nak berhenti kerja untuk sama-sama membantu membina taman didikan milik keluarga ini. Mudah-mudahan suatu hari nanti, ameen ameen ameen ya rabb!

Seluruh keluarga rasa tidak selesa dengan nama Tadika Integrasi Fikrah seperti yang tertera dan kami telah mencari nama yang boombastic dan islamic bagi tadika ini, Tapi malangnya pihak KPM dan JKM telah menetapkan syarat supaya mengikut sahaja cadangan nama dari mereka, maka tercetuslah nama TADIKA INTEGRASI FIKRAH (TIF).

Saya doakan dengan sesungguh jiwa dan raga supaya taman didikan ini dapat beroperasi dengan lancar awal Januari 2014 nanti. Ada adik-adikku bakal berhenti kerja semata-mata mahu fokus untuk tadika ini. Mudah-mudahan dibalas dengan segala kebaikan oleh Allah jalla wa'ala. Bertatih-tatih dahulu dan itu semestinya. Bersusah-susah dahulu dan mudah-mudahan suatu hari nanti ianya dapat menjadi tuaian amal jariah kesenangan ayahanda dan bondaku serta kami semua biiznillah.

Kepada orang Johor atau khususnya Johor Bharu, dengan ini saya mempelawa tuan puan untuk hadiahkan anak tuan puan didikan yang berkualiti dan seimbang dari TIF.

Beralamat   : No 46-01, Jalan Kempas Indah 1/1, Taman Kempas Indah, 81300, Johor Bahru, Johor.
Hubungi     : 012-7781046 (Syafiq) / 019-7436454 (Akmal).
Subjek      : Bahasa (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab), Matematik, Sains Hafazan,   Akhlak, Sirah, Zikir dan doa.

18 : Random

Alhamdulillah hari ini sempat juga membuka laman blogger ini untuk meneruskan tugasan 44 perkongsian entry di dalam blog ini. Buat siapa yang tidak tahu (ada ke pembaca ni?hehe) saya masih berada di dalam kelas Akademi Bekerja Dari Rumah yang memerlukan tugasan menyiapkan sebanyak 44 posting entry untuk mengesahkan saya pelajar di dalam kelas ini. Berat juga rasanya nak menghabiskan 44 entry di blog ini, tapi saya cuba juga untuk meneruskannya.

Dalam 10 hari juga rasanya tertunda blog saya ni tanpa sebarang idea untuk dikongsi bersama. Sistem internet di rumah down beberapa hari. Dan juga sebagai guru cabuk, akhir tahun dan awal tahun adalah masa yang paling sibuk. Saya bertungkus lumus menyiapkan laporan akhir tahun dan perancangan serta kerja-kerja persiapan untuk tahun depan. Masya Allah terlalu banyak mahu dibuat, rasa macam jammed otak untuk berfikir. Setiap hari tidur jam 1 atau 2 pagi dan bangun pula esok pagi jam 4.45 pagi.

Ketika rumit dan susah begini, saya terbayangkan pempinan-pimpinan kita yang sudah lama berkorban untuk rakyat. Pengalaman adik-adik medic Tonto yang sekarang sedang berhousemanship di hospital, berkorban seluruh masa mereka untuk pesakit dan dalam masa yang sama mereka masih lagi belajar daripada doktor-doktor pakar. Betapa kita ini kerdil sangat dinilai sebagai sibuk. Masya Allah wa tabarakallah.

Anak yang kecil pula telah ditimpa musibah. Tangan kirinya terseliuh dan retak sedikit.  Terjatuh sambil menongkat tangan, pergelangan tangannya retak dan tulang siku terkeluar sedikit. Masya Allah, meladeni ragamnya sahaja memerlukan kesabaran yang tinggi, mana tidaknya setiap masa merengek mahu di dokong =).


Hari ini mahu berkongsi sedikit cerita yang heboh baru-baru ini berkenaan orang yang selalu mendampingi Al Quran. Baru-baru ini sebuah kawasan perkuburan terlibat dengan projek lebuhraya expressway jalan Segamat - Tangkak dan telah melakukan kerja-kerja mengalihkan kubur di Kampung Batu Badak, Gemereh, Segamat. JKR telah mendapati 13 jenazah masih sempurna dan mereka telah mengenalpasti 3 jenazah adalah pengajar Al Quran. Salah satunya jenazah yang telah ditanam 11 tahun dahulu adalah seorang lelaki bekas guru mengaji Al Quran. Jenazahnya berbau harum dan seakan-akan baru dikebumikan. Saya kongsikan sedikit gambar dan mudah-mudahan ianya menjadi peringatan buat kita terutamanya saya yang selalu leka dan alpa. Masya Allah adakah penghargaan sebegini yang diberi oleh Allah masih lagi tidak dapat mencelikkan mata kita?










Saturday 2 November 2013

17 : Ar Rumaisa'

Sebenarnya ini nama usrah anak-anak didik. Semalam mereka datang menziarahi saya, sekaligus merupakan sesi taujihad sebelum mereka memasuki gerbang SPM  bermula 6 hb November minggu depan. Agak sedih mengenangkan, mereka bakal pergi meninggalkan bumi MTS ini, tetapi mengenangkan merekalah yang bakal mencipta jasa baru bagi ummah akan datang, sekali duka ditolak jauh-jauh. Mendoakan mereka supaya dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang, membaca arahan dan jawab dengan baik.



Syakirah,Zahraa,Widad,Syafiqah,Syuhada,Ilyana,Kamilah,Atia dan Nadzeefah

i.allah nama-nama kamu sentiasa terpahat dalam hati

Kenangan jamuan Mei lalu
Macam-macam di borakkan, antara yang menarik adalah kisah Reem Ar Riyashi yang menjadi iktibar. Seorang ibu kepada dua anak yang menjadi pengebom berani mati di Palestin. Ibu-ibu di sana sanggup berkorban keluarga demi agama. Mudah-mudahan menjadi tauladan buat kita semua.

Kami berkongsi ibrah, pengajaran dan motivasi, bukan hanya saya sahaja yang berkongsi pengisian, malah mereka juga tidak ketinggalan. Pasti saya rindu saat-saat ini, kerana mereka adalah antara pelajar yang rapat dan selalu berkongsi idea selama 2 tahun ini. 

Selepas SPM nanti, kami merancang untuk masak-masak lagi, tapi mereka pula yang akan masakkan untuk saya, gembira, seronok, tak sabar nak tunggu saat itu, mudah-mudahan di izinkanNya.







Friday 1 November 2013

16 : Origami

Dua hari lepas, beria Huzaifah minta saya belikan buku aktiviti origami. Saya pun belikan ketika pulang sekolah. Dalam hati dok berkata, kalau beli ni, tak tahu bila la budak-budak tu mahu beraktiviti.

Sampai di rumah, suakan buku origami pada mereka. Wah, nampaknya seronok tak terkata. Terus pulun buat origami 2 beradik tu, sampai tak lalu makan. 




Saya tengok dah macam kertas apa atas meja tu, geram rasa macam nak buang =).  Usamah kata, kertas ni warna dia tak menarik la ibu, sebab warna putih, ewah pandai pula sebut perkataan tak menarik, hehe. Janji dengan mereka, nanti-nanti saya belikan kertas warna warni. Puas sangat hati bila dapat menunaikan permintaan anak-anak. Tapi yang bermanfaat sahaja, kalau agak-agak permintaan pelik-pelik, saya pun buat tak tahu saja.