Wednesday 20 November 2013

21 : Kawal aktiviti anak-anak ketika cuti

Alhamdulillah, secara amnya cuti sekolah sudah bermula. Lebih 2 bulan anak-anak akan berada di rumah bagi menghabiskan cuti sekolah. Bagi yang berkemampuan, sesetengah ibu bapa menghantar anak-anak ke kem-kem bina syakhsiah, pemantapan solat, motivasi, pemantapan akademik dan sebagainya.

Ianya satu sikap yang harus di pandang positif. Tidak salah mengorbankan sedikit wang andai suasana berlainan dari rumah dapat mendatangkan aura positif bagi anak-anak.

Tetapi jangan dilupakan pemantauan anak-anak di rumah adalah lebih berkesan. Dengan pemantauan secara langsung dari ibu dan ayah, anak-anak terasa aura kasih sayang ibu dan ayah. Mana tidaknya sebelum ini mungkin ibu dan ayah sibuk bekerja, ataupun anak-anak sibuk bersekolah, cuti sekolah mengumpulkan kesemuanya. Semua aktiviti akan berjalan dengan santai.

Bagi ibu bapa yang bekerja pula, cuba korbankan masa anda di sebelah malam untuk beraktiviti bersama anak-anak kerana pastinya anak-anak telah cukup rehat sepanjang siangnya.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit tips bagi memudahkan ibu dan ayah mengawal segala tindak tanduk anak-anak kita, jangan dibiarkan masa terus berlalu tanpa mengisi aktiviti-aktiviti berfaedah bagi anak-anak kerana ianya adalah suatu yang amat merugikan.

1. Sediakan jadual

Jadual sepanjang percutian ini amat penting untuk disediakan bagi mengisi aktiviti anak-anak. Cukup dengan jadual yang ringkas dan difahami anak-anak, tidak perlulah terlalu rigid, ianya penting bagi membezakan disiplin ketika waktu sekolah dan disiplin ketika bercuti. 

Jadual juga penting bagi mendisiplinkan masa ibu dan ayah sekalian. Dengan berjadual juga, ibu dan ayah boleh buat checklist barangan apa perlu disediakan, aktiviti apa yang perlu ditambah dan dikurangkan dan masa yang sesuai untuk beraktiviti.

2. Masa bermain/bersantai

Bermain dan bersantai banyak maksud tersirat. Aktiviti pembelajaran boleh dibuat sambil bermain. Menolong kerja-kerja rumah juga boleh dibuat sambil bersantai. Contohnya anak-anak pastinya sukakan aktiviti memasak, dalam masa yang sama menolong ibu memasak sebenarnya. Sekali-sekala minta anak-anak tolong mengemas dapur. Pada hemat saya, anak-anak pasti sukakan aktiviti baru yang jarang-jarang diperbuat sebelum ini.

Petang-petang, bermain di luar rumah. Kalau hujan pula, banyak permainan kreatif yang menunggu di dalam rumah. Apa yang penting, sebagai ibu dan ayah, korbankan sebanyak masa dan minda bagi menangani anak-anak cepat bosan. Ibu ayah yang luarbiasa adalah ibu bapa yang beramanah dengan taklifan anak-anaknya.

3. Bercuti

Sekali-sekala bercuti tiada salahnya. Malah ianya adalah saranan para ulama'. Teringat kalam Yb Mumtaz dalam siri lawatannya ke sekolah, wajibkan sedia satu masa setiap cuti untuk berehlah, bercuti atau pergi ke tempat-tempat baru untuk tambah pengalaman eksplorasi anak-anak.

Seingat saya, walaupun ibu dan ayah saya bekerja pejabat ketika kecil dahulu, ayah tidak pernah gagal mengadakan percutian bersama kami anaknya 8 orang ini. Kalau bajetnya sikit, memadai tempat-tempat yang dekat sahaja, jika ketika itu ayah dapat bonus atau bajet lebih, merasalah kami pergi tempat-tempat yang istimewa.

4. Beri anugerah bila capai target

Paling penting, berikan gelaran tokoh kepada anak-anak apabila telah mencapai target yang telah ditetapkan. Contohnya, tokoh paling rajin, tokoh terbaik sepanjang masa, tokoh paling bersih atau tokoh paling kreatif. Mesti diingat anak-anak kita mempunyai kelebihan tersendiri. Ada yang pintar dalam pembelajatan dan ada yang pintar dan cekap dalam beraktiviti. Memberi anugerah mestilah seimbang terhadap anak-anak. Mesti lihat pelbagai aspek, baru boleh dinilai. Seeloknya sediakan hadiah bagi semua anak dan bezakan hadiah antara yang terbaik dan tidak.

Selamat bercuti anak-anak, ibu dan ayah, tidak cuti ye bagi saya,hehe. Kerana cuti akhir tahun sekolah saya hanya bermula pada 17hb Disember ini. Masa bercuti bagi anak-anak adalah masa mengenal kehidupan, tetapi bagi ibu ayah pula adalah masa berkorban tuaian amal kepada anak-anak, selamat bercuti!

No comments:

Post a Comment