Friday 27 September 2013

3 : Kado kehidupan

Dalam ingatan saya sudah 13 tahun saya berkecimpung secara serius di dalam bidang Al Quran. Dahulunya bidang ini adalah pilihan Allah dan ibu bapa untuk saya. Tetapi tidak untuk hari ini. Waktu dan detik ini, saya perlu ucapkan jutaan tahniah atas paksaan ayah dan ibu dahulu.

Kurang minat dan lambat menghafaz antara salah satu faktor Darul Quran Jakim tidak menjadi pilihan. Berbulan-bulan awalnya di Darul Quran, saya rasa resah dan mengalah. Ibulah yang memberi semangat setiap hari. Pesan ibu mesti istiqamah solat taubah selepas maghrib. Alhamdulillah, rasanya amalan ini sahajalah yang saya istiqamah sehingga sekarang.

Selesai di Darul Quran dengan penuh kepayahan, berhijrah pula ke Ardul Kinanah, bumi Mansurah, Mesir, dengan penuh kesukaran juga. Kali ini berganda-ganda. Di sini pahit tetapi manis.Mana tidak gembira apabila belajar, tasmi' dan murajaah Al Quran bersama para masyaikh kabir. Mulia nya mereka apabila mereka mengingati dan mengamalkan Al Quran.(sekarang antara mereka ada yang telah dibunuh oleh rejim kudeta Al Sisi, waffaqa kumullah ya syeikh ).

Kini, ilmu yang diperolehi perlu diturunkan kepada anak-anak didik di sekolah dan rumah. Amat rugi ibu dan ayah jika kita tidak terapkan untuk anak-anak qurratu a'yun. Mereka yang fitrahnya masih suci amat mudah menyerap apa yang diajar ibarat span yang menyerap air. Alhamdulillah anak saya, Huzaifah telah hafaz sebahagian juz 'Amma. Kalaupun terlambat, ianya lebih baik daripada tidak mencuba langsung.

Menghafaznya adalah senang dan praktikal. Kerana salah satu karakternya  adalah senang dihafaz dan diulang-ulang : “Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur'an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?.” (Al Qamar:17). Maka apalagi alasan kita?

Al quran, ia adalah kado kehidupan daripada Allah jalla wa 'ala untuk saya dan kita semua. Kemudian kita wajib mewariskan kado agung ini  kepada anak-anak.Ketika masih bernyawa inilah peluang untuk kita, ibu dan ayah berusaha keras membina anak-anak soleh pembina ummah kelak. Mari kita lakukan sekarang, walaupun agak terlambat, tetapi lebih baik daripada tidak mencuba langsung, betul kan?

Thursday 26 September 2013

2 : Tadribat Weeks


Semalam berlangsungnya perasmian Tadribat Weeks @ Minggu Latih Tubi di sekolah. Anak didikku terlebih ceria daripada hari-hari biasa.Kalau ikutkan lebih kurang sebulan sahaja lagi mereka bakal menduduki peperiksaan besar.

Selepas ucapan mudir yang berapi-rapi memberikan motivasi dan semangat, kami para guru pun beredar.

"Ustazah doakan kami success tau dalam exam, lagi-lagi kami ni kakak besar, contoh adik-adik"

"Insya Allah, di mana ada usaha, di situlah ada kejayaan, betul tak?"

"Betul, betul, betul"

"Ustazah, kami ni semuanya adalah SPM VICTIM'S bukannya SPM CANDIDATE'S"

"Eh, kenapa kamu kata camtu?"

" Iyalah kamikan eksperimen KPM, jadi mangsa lah, segala program KPM, kami yang kena lalui, bukan tu mangsa ke ustazah? "

Dalam hati terdetik dan mengiyakan apa yang meteka perkatakan. Bijak benar anak-anak sekarang menilai keadaan sekeliling. Hendak saja saya perkatakan, kamu lah nanti yang bakal mencorak era politik baru Malaysia.Belajar rajin-rajin anak-anak.

Dan harga inilah yang perlu dibayar, letih menuju kesempurnaan.

Tuesday 24 September 2013

1 : Rumah Idaman

Umpama binaan rumah impian, setiap kali terfikir pengubahsuaiannya pasti akan tersenyum. Mencongak-congak berapakah jumlah harus ditambah. Rumah impian, walaupun tidak mewah, pasti barangannya berkualiti dan terbaik. Susun atur perabutnya mestilah menarik. Hiasan-hiasannya pula sedap mata memandang. Tersilap, terkhilaf sedikit, pasti sesalan tak berkesudahan.

Umpama rumah idaman, begitu jugalah kita membina anak-anak impian. Bersama mereka kita tersenyum, kadang ketikanya bersama mereka kita berduka, dan dengan duka itu jugalah kita pasti tersenyum kembali.

Pastinya kita sebagai ibu dan ayah, mengimpikan anak-anak penyejuk mata, maka dengan itu harganya cukup mahal, malah bakal dilalui dengan ujian dan cubaan yang cukup memeritkan.

Alangkah beruntungnya kita sebagai ibu, bertuah pula sebagai ayah. Kerana Allah telah memberi amanah untuk memburu pahala. Settle amanah, pahala berganda. Tetapi pasti menyesal bagi mereka yang tidak pandai menghargai amanah, sudahlah malas, culas pula.