Tuesday 19 November 2013

20 : Sehingga Al Quran terpahat di hati



Rasulullah memberi perumpamaan terhadap peminat Al Quran dan pengabai Al Quran. Teringat dalam siri usrah-usrah di Tanta dahulu seorang sahabat menerangkan hadis nabi ini. 

Rasulullah S.A.W memberi contoh mukmin yang membaca Al Quran umpama buah uttrujjah, baunya sedap, rasanya enak. Sang sahabat saya itu pula memberi contoh ianya bagai buah durian, baunya sedap dan rasanya ramai yang meminatinya. Ramai yang tergelak. Bila difikirkan, betul! Orang mukmin yang membaca Al Quran umpama buah durian, manis dan enak seiring rahmat dan keberkatan Al Quran itu.

Mukmin yang tidak membaca Al Quran, Rasulullah umpamakan dirinya bagaikan buah tamar, enak rasanya, baunya tiada. Sahabat pula umpamakan buah ciku. Saya terkenang pokok ciku di rumah yang terkena petir beberapa tahun dahulu. Pokoknya yang tinggi dan besar terbelah dua. Terus minda membuat andaian, mungkin seperti itu seorang mukmin yang tidak meladeni Al Quran, kemarahan Allah selalu bersamanya sehingga terkena petir!

Orang munafiq yang membaca Al Quran, Rasulullah umpamakan dirinya Raihanah, suatu tumbuhan yang harum baunya, pahit pula rasanya. Sahabat umpamakan seperti minyak attar. Baunya harum tetapi bila terkena di lidah, rasanya pahit. Seisi usrah ketawa-ketawa. Seisi usrah bertanya pula, mengapa sudahlah munafiq baca Al Quran pula? Sahabat saya menjawab, sebab itu Rasulullah umpamakan munafiq itu raihanah, kerana perbuatan membaca Al Quran adalah tidak ikhlas dan menunjuk-nunjuk. Betul! Harum bagi dirinya seorang sahaja, tetapi pahit murka Allah terhadapnya.

Perumpaan yang terakhir bagi munafiq yang tidak membaca Al Quran , Rasulullah umpamakan buah hanzolah, baunya tiada, rasanya pula pahit. Sahabat saya umpamakan buah peria. Sudahlah baunya tiada, tidak menarik, rasanya pun pahit. Seorang sahabat lain menyampuk, tapi peria baik untuk kesihatan. Seisi usrah ceria. Sahabat pengupas hadis tergelak, kali ini dia tiada jawapan.

Alhamdulillah lebih 10 tahun saya masih lagi terkenangkan pengisian usrah yang menarik ini. Terima kasih sahabat atas perkongsian ini.

No comments:

Post a Comment