Monday 28 October 2013

15 : Tips surirumah berinformasi

Sebagai umat Islam kita digalakkan untuk mengambil cakna keadaan sekeliling. Tidak dinafikan sebagai seorang suri di rumah, kurang pembacaan dan masa yang sempit menjadikan kita selalu ketinggalan informasi ummah. Sebagai surirumah sama ada bekerjaya ataupun tidak, sekurang-kurangnya 90% dalam minda kita adalah menguruskan suami, anak-anak dan rumah.

Islam menganjurkan kita supaya sentiasa mengambil tahu hal keadaan sekeliling. Sabda Rasulullah : man qola Lailahaillallah fahua ad da'ie. Maksudnya : Siapa yang mengucapkan Lailahaillallah, maka dia itu adalah pendakwah. Tidak kira kita ini surirumah, guru, kakitangan awam dan sebagainya, maka kita adalah pendakwah. Antara sikap pendakwah adalah tahu dan sebar.

Beberapa tips yang ingin dikongsikan buat surirumah cakna ummah :

1. WAJIB CARI MASA UNTUK BACA BERITA

Bekerja sebagai rabbatul bait (surirumah), menjadikan masa ibarat emas, setiap masa dan ketika ada sahaja pekerjaan yang perlu dilakukan dan ianya tidak berkesudahan. 

Carilah sedikit masa, ketika diawal pagi, lewat malam atau ketika waktu senggang ( hanya kita yang tahu, bila masa itu) untuk mentelaah isu-isu, berita-berita dalam dan luar negeri. 

Berita atau informasi yang telah dibaca perlu dipadankan dengan saluran berita yang lain agar sifat adil dapat diaplikasikan. Tidak dinafikan segelintir berita hanya memaparkan berita yang kadangkala tidak sahih bagi melariskan jualannya.

Ingat, jangan semata-mata berita artis atau misteri sahaja yang dibaca, tetapi keseluruhan informasi dalam dan luar negeri, dunia, politik, bisnes, sukan dan sebagainya mesti dihadamkan. 







2. CUBA SEBARKAN

Sebarkan maklumat yang kita dapat walaupun sedikit. Sebagai contoh ketika berbual dengan jiran, ketika mengajar, di pejabat, kongsikan di dalam FB , di dalam usrah ataupun sebagainya. Selitkan sedikit informasi yang telah kita dapat, agar setiap perbualan, percakapan dan penulisan padat dengan perkongsian ilmiah. Ada manfaat kan? Tidaklah hanya berbual kosong. 

Hatta bersama anak-anakpun kita patut berkongsi informasi secara santai. Terangkan berita secara mudah, tunjukkan video dan gambar. Dengan cara itu, anak lebih faham dan sentiada cakna keadaan di sekelilingnya.

3. SENTIASA DENGAR TAZKIRAH ATAU PERINGATAN

Medan ilmu sentiasa terbuka luas untuk kita. Zaman millenium ini, semua berita dan apa yang kita mahu berada di hujung jari. Maka tiada alasan Islam dan ilmunya tidak dapat  berkembang. Pentingnya tazkirah atau peringatan, Allah sebut ianya di dalam surah az zariyat ayat 55 yang bermaksud : Dan tetaplah memberi peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang yang beriman.

Mendengar tazkirah atau menghadiri majlis-majlis ilmu bukannya semata-semata menghadap tok guru atau ustaz di depan mata. Kelas-kelas online ataupun tazkirah maya sentiasa ada untuk kita nikmati. Tinggal click atau tidak sahaja. 

Penting bagi kita surirumah bekerjaya ataupun tidak, untuk mengetahui hukum-hakam terkini. Setiap hukum-hukum feqah ataupun syariat yang diturunkan ini mengikut kesesuaian perlaksanaannya. Ini kerana setiap hukum hakam feqah adalah setiap perkara yang berlaku dalam detik kehidupan. Jika rajin mendengar, mesti banyak pertanyaan dan persoalan. Dan setiap persoalan itu ada jawapan dan gurunya.

4. TANAMKAN NIAT INGIN TAHU TERHADAP ANAK-ANAK

Semenjak kecil lagi, anak-anak perlu diterapkan perasaan ingin tahu dan cakna terhadap keadaan sekelilingnya, umumnya terhadap Islam. Sikap ini bagus diterapkan di dalam diri kanak-kanak kerana akan meningkatkan lagi banyak sikap-sikap yang positif dalam dirinya. 

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak sentiasa didedahkan dengan perlakuan zalim yang telah dilakukan terhadap umat islam, maka sifat toleransi, kasih sayang dan semangat yang tinggi akan timbul dalam jiwanya.  

Berceritalah tentang keadaan semasa seperti Islam ditindas di negara-negara miskin, pergolakan  di Syria, Mesir, Rohingya dan sebagainya dengan cara santai dan bahasa yang mudah difahami. Itu lebih baik daripada menceritakan kisah-kisah dongeng sebelum tidur.


14 : Cerita Usamah


Semalam berbual dengan Usamah, anak saya yang kedua, berumur 5 tahun. Suka berbual dengan Usamah, sebabnya jawapan dia selalu buatkan saya ketawa. Selalu jawapan dia ikut sedap mulut nak jawab je dan dia suka guna bahasa baku =)
Ibu : Usamah, nanti dah besar kan, Usamah nak jadi apa?
Usamah : Usamah tak boleh jawab lagi sekarang, sebab itu rahsia.

Ibu : Rahsia? hihihi

Usamah : Tapi ada seorang je yang Usamah bagitau kat dia Usamah nak jadi apa bila dah besar nanti.

Ibu : Kenapa dia je yang Usamah cakap? Ibu nak tau jugak... 
Usamah : Yelah, sebenarnya Usamah lah orang tu, dia sorang je yang tau.

Ibu : Hahaha, yelah,oklah, kalau gitu bagitau la ibu Usamah nak jadi apa nanti..

Usamah : Hei, ibu ni, takkan itupun ibu tak tau, Usamah nak jadi BAPA lah. Macam we tu! (ayahnya), hei itupun ibu tak tau.

Ibu : Hahaha, memanglah ibu tak tau. Ingatkan Usamah nak jadi Ustaz ke, doktor ke..
Usamah : ibu pulak, nanti dah besar nanti ibu nak jadi apa?
ibu : La ibu dah besar lah ni.

Usamah : Ibu dah besar tapi pendek lagi, Usamah tau mesti ibu nak jadi GURU kan? sebab Usamah tengok ibu ni macam guru je...

Ibu : Hahaha, iyelah Usamah, ibu nak jadi gurulah, baru bagus macam tu!

Tapi pagi tadi Usamah dah tukar cita-cita, katanya nak jadi pembuat kek pula, hihihi.  Ini semua mesti  terpengaruh dengan kamus adikku.

Friday 25 October 2013

13 : 23 tahun Kelantan bersama kepimpinan ulama'

Dekat 8 tahun juga saya telah bermastautin di Kelantan. 5 tahun ketika di tingkatan 1 hingga 5 dan selebihnya bermula tahun 2011 saya memulakan tugas di Maahad Tahfiz Sains, Tanah Merah.

Walaupun kemodenannya tidak boleh disamakan dengan negeri Johor yang ramai mengatakannya sebagai maju, tetapi beberapa prasyarat utama menjadikan saya selesa berada di Kelantan. 

2-3 hari lepas sempat juga saya membuat liputan program sambutan 23 tahun kerajaan Kelantan Membangun Bersama Islam. Program bermula dengan munajat dan solat hajat jam 3.30pagi  dan diimamkan oleh ustaz Nik Razi Nik Mat dari Pusat Pengajian Pondok Kandis. Ini satu pendekatan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri yang sangat mesra ibadah.

Pelbagai program yang dianjurkan kerajaan negeri wajib bermula dengan solat hajat dan munajat menjadikan saya dan keluarga di Johor sana sentiasa peka dengan program anjuran kerajaan Kelantan. Tahun lepas ibu dan adik-adik saya sempat merasai nikmatnya berqaryah Ramadhan di Kelantan. Jadi, tidak peliklah kalau ibu saya sentiasa menziarahi kami di sini.

Uniknya, tahun ini Kelantan telah bertukar Menteri Besar. Tetapi ianya bukanlah satu kelemahan, malah kelebihan kerana Ustaz Ahmad Yaakob adalah pilihan Tok Guru sendiri.Setelah mendengar beberapa ucapan pemimpin-pemimpin negeri ,ada beberapa perkara yang hendak saya syorkan kepada negeri-negeri luar yang patut dicontohi, antaranya:

1)SISTEM PERBELANJAAN

Umum telah mengetahui Kelantan selalu mewar-warkan bajet defisit di dalam belanjawan mereka, tetapi setiap akhir tahun berlaku lebihan hasil apabila mereka mengamalkan pengurusan yang cekap dan penjimatan dalam urusan perbelanjaan. Ini adalah satu sikap yang patut dipuji dan dicontohi. Pandangan saya, amat sukar untuk kita mendengar lebihan belanja dari mana-mana negeri, tetapi Kelantan berjaya melakukannya.

2)MENDAHULUKAN PENDIDIKAN AGAMA

Kelantan adalah satu-satunya kerajaan yang menerajui kepentingan pendidikan Islam dan akhir-akhir ini telah diikuti oleh beberapa negeri lain. Dalam bajet 2014 Kelantan telah memperuntukkan RM72.0 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi melaksanakan program-program pendidikan dan menyediakan peruntukan sebanyak RM4.0 juta bagi projek pembangunan, menyelenggara dan menaiktaraf 91 buah sekolah di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan. Perlaksanaan ini adalah menjadi satu lumrah bagi kerajaan Kelantan yang selalu berbelanja besar bagi pembangunan rohani ummah.

3)KEBAJIKAN PEKERJA

Baru minggu lepas kerajaan negeri mengumumkan tambahan cuti 30 hari kepada kakitangan kerajaan yang kematian suami kali pertama daripada hanya 3 hari sebelum ini. Ini adalah satu usaha pihak kerajaan dalam memberikan kebajikan yang optimum terhadap pekerjanya. Pada tahun 2011 juga telah diumumkan cuti 60 hari bagi kakitangan kerajaan yang telah melahirkan anak daripada hanya 2 bulan sebelum ini. Kelantan berjaya menerajui langkah yang positif ini, kemudian telah di ikuti oleh negeri-negeri lain.

Banyak lagi sebenarnya perubahan-perubahan yang berjaya diusahakan oleh kerajaan Negeri Kelantan semenjak bernaung di bawak pemerintahan ulama'.  Saya optimis kerajaan yang mementingkan rohani berbanding jasmani akan mendapat kejayaan juga di akhirnya nanti. Walaupun ada lagi item-item yang masih dalam fasa pembinaan dan pengubahsuaian, tetapi ianya dapat dikaburi dengan projek-projek mega positif yang telah dilaksanakan kerajaan Kelantan dengan jayanya. Saya mendoakan negeri kesayangan serambi Mekah ini suatu hari nanti dapat mencontohi Negara Brunei yang kaya hasilnya tetapi dalam masa yang sama taat akan perintah Allah taala. Mudah-mudahan, suatu hari nanti.


Wednesday 23 October 2013

12 : Coklat IQ

Semalam seorang cikgu mempromosikan coklat yang mahu dijualkan kepafa guru-guru. Dalam hati terdetik, mungkin coklat minda keluaran hijrah tu. Kalau produk tu, dah selalu beli. Bila dia bawakan saja, wow! coklat inilah yang selalu saya cari. Susah amat mencari makanan ringan yang berasaskan makanan sunnah.





Coklatnya amat lembut dan banyak sangat kacang badam. Malahan rasa habbatussauda' pun tak terasa. Saya memborong begitu banyak coklat ni. Tersenyum-senyum teringatkan anak-anak di sekolah, petang ni kenduri la mereka. Nanti lepas mengaji dan buat sekolah akan dapat ganjaran coklat yang sedap ni.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Anak -anak didik tingkatan 4, sedang menduduki peperiksaan  SMU sekarang. Setiap hari mereka membuat bulatan gembira untuk membaca doa wehdah serta berdoa penuh perasaan meminta nusrah Allah taala. Bermula 21 oktober sehingga 29 oktober, mudah-mudahan mereka diterangkan hati dalam menjawab soalan peperiksaan. Amin ya rabb.

Sunday 20 October 2013

11 : Tangguhkan dulu niat itu...


Seronok sungguh membaca artikel-artikel hebat di sini. Selesai membacanya, saya kerap berangan-angan dengan anganan yang entah bila boleh terlaksana. Mulianya seorang wanita yang dihadiahkan pelbagai pemberian Allah taala. Anak dikandung di dalam rahimnya, nikmat atau penghargaan apakah lagi yang boleh menandinginya? Mulia sungguh pengorbanan ibu yang sanggup berhenti kerja semata-mata ingin membina corak langkah anak-anak dengan tangannya sendiri. Mereka berani menentang cita-cita yang selama ini diidamkan, semata-mata menjaga anak-anak di rumah. Tinggalkan gaji yang tinggi, pendidikan yang tinggi, yang nampak hanyalah wajah suami dan anak-anak yang perlu disantuni.


 FENOMENA BARU

Dewasa ini pula banyak peluang pekerjaan yang hanya melibatkan diri di hadapan komputer dan di dalam rumah. Mudah kata, peluang pekerjaan yang mencurah-curah untuk suri rumah. Lihat saja ruang-ruang kosong di sini; kebanyakan penghuninya adalah suri rumah sepenuh masa dan antaranya adalah suri rumah bekerjaya. Ianya mudah, praktikal dan fleksibel.Tinggal lagi komitmen para pelajar pula bagaimana rupanya.

TERASA HATI

Tetapi, setelah berfikir-fikir sedalam-dalamnya, ada benda yang saya rasa tidak kena, ulu hati tiba-tiba rasa pedih, lalu mata mengeluarkan air jernih. Ya, profesion seperti saya jarang diendahkan. Sesekali membaca artikel-artikel motivasi para suri, selalu terkesamping kami ini. Tidak dapat dinafi, nganjaran yang maha banyak dari Allah jalla wa ala, tetapi sebagai manusia, kami dahagakan sokongan dan dokongan dari semua.

Pernah dahulu, di dalam majlis penganugerahan kecemerlangan para pelajar, saya mengucapkan tahniah kepada seorang ibu pelajar cemerlang dan dedikasi. "Tahniah puan atas kecemerlangan anak puan!", jawab si ibu "Terima kasih, kerana sayalah anak saya cemerlang, saya surirumah, tidak bekerja, dapat pantau anak-anak, tak dapat saya bayangkan kalau saya kerja macam ustazah, mungkin porak peranda hidup saya'. Alangkah, sedikit terima kasih pun tidak terlintas di hatinya untuk ucapkan kepada guru cabuk ini, malah saya rasa dia menghina saya pula, sedangkan anaknya duduk di asrama 24 jam, guru cabuk inilah yang mamantau pergerakan anaknya!

MURABBI

Cita-cita saya sejak dahulu adalah murabbi, pendidik anak-anak ummah. Bukan sekadar mengajar tetapi MENDIDIK. Tidak sampai hati melepaskan pekerjaan saya ini semata-mata mahukan kehidupan selesa. Tetapi doa saya setiap hari, suatu hari nanti akan tercapai juga impian saya yang mana ianya adalah impian semua surirumah iaitu menjadi suri hati suami dan anak-anak setiap masa.

Tidak dapat dibayangkan sekiranya saya dan para surirumah lain berhenti mengajar dan mendidik, apa akan jadi kepada generasi akan datang! Lihat saja keratan-keratan di dada akhbar, ini hanyalah 1% berbanding banyak lagi kes-kes remaja yang tidak kita ketahui. Yang dipaparkan ini baru bab jenayah, tidak campur lagi bab solat, baca Al Quran, akhlak dan sebagainya.

RABBATUL BAIT

Saya selalu optimis Allah jalla wa 'ala memandang setiap kebaikan yang dilakukan oleh hambaNYa. Mudah-mudahan dengan usaha dan jasa kecil ini, Allah lindungi anak-anak saya dari perkara yang tidak diingini dan mereka sentiasa dalam keadaan yang baik.

Selalu teringat kalam bekas murabbiku, katanya ajar dan didiklah pelajar-pelajar kita seperti kita mendidik anak kita sendiri, nescaya anak-anak kita juga bakal dididik dengan sepenuh perhatian oleh gurunya. Alhamdulillah, kata-kata itulah yang saya pegang kejap, hanya mengharapkan nusrah Allah dalam melayari profesion bekerjaya ini.

Menjadi idola saya juga, YB Zailah, Mumtaz dan ramai lagi ibu bekerjaya sebagai doktor, jururawat dan mereka yang memberi jasa kepada agama dan negara, dalam masa yang sama dianugerahkan anak-anak yang hebat.

Para suri, saya ucapkan beribu tahniah, meninggalkan kerjaya demi keluarga, kerana suatu masa nanti saya akan mendapat title itu juga. Dan mendidik anak-anak adalah bermula dari rumah, di mana ibu dan ayahnya dahulu yang mendidiknya sebelum dia dididik oleh para guru.

Wednesday 16 October 2013

10 : Bola kampung

Permainan anak-anak di rumah. Biasalah, anak orang kampung, permainan pun mesti kampung-kampung juga. Entah dari mana idea diceduk, saya pun tak tahu. Mungkin permainan dari subjek di sekolah, Pendidikan Seni Visual kot!

Hari ini abang pah dan Usamah tak dapat main bola di luar rumah. Musim hujan sekarang ni. Inilah mainan mereka petang-petang, main dalam rumah sahaja. Senang. Dulu-dulu, saya pernah juga nampak sepupu sepapat main mainan ini, tak sangka anak saya pun dah mewarisinya.




Zaffere , Adam Mukelis , Adam Ganas : nama pemain bola antarabangsa !




Tuesday 15 October 2013

9 : Aidil adha dan kenangan hari lahir adik

Alhamdulillah, aidil adha 1434 H dirayakan juga di Tumpat, Kelantan. Puas sudah memujuk suami untuk balik berhari raya di Johor, akhirnya saya akur dengan timbunan kerja suami dan tesisnya.

Memang seronok sebenarnya berhari raya di Kampung Laut, Tumpat. Selain dari ibadah dan jalinan ukhuwwah yang meriah, alasan utamanya adalah JUADAH UNIK yang lazat.

Selesai solat sunat aidil adha, anak-anak dan suami bergegas untuk sesi penyembelihan lembu di tepi Sungai Kelantan. Seketika kemudian, mereka pulang membawa bahagian-bahagian daging yang telah dikorbankan.

Paling istimewa kali ini, tok saya teringin menjamah testis lembu, hehehe. Aduh, tidak dapat dibayangkan bagaimana rupanya 'makhluk' itu.

Testis lembu yang diidamkan =)
Testis lembu, lidah lembu, ekor lembu, perut lembu, limpa dan sebagainya, sebenarnya saya tak pernah tahu pun kewujudannya. Selama saya menyambut hari raya di Johor, organ-organ di atas dipandang enteng dan dibuang. Tetapi lain pula ceritanya di Kelantan. Ianya dijadikan sup, digoreng, singgang dan kari. Memang sedap!

Tapi, tak boleh masak makanan kelate ni di Johor, jawapannya tak dapat sambutan =). Tak sempat juga nak buat rujukan hukum hakam makan benda pelik-pelik ni, sebabnya saya tengok 'ustaz-ustaz' di rumah tok ni enak je menjamu juadah pelik-pelik ni, makin berselera lagi ada, hehe jadi tak boleh nak kata apa!

_______________________________________________________________________

Dia pandai ambik hati ibu. Kalau letak makanan depan dia, nanti mesti dia akan kata "waaaah, dapnye!" Kembang hati ibu, nak =)

Hari ini hari kelahiran Nik Ahmad Ubaidah. Cukup 2 tahun umur Ubaidah hari ini. Tidak ada apa special pun hari ini. Ibu dan we cuma mengenangkan hari kelahiranmu dan berdoa mudah-mudahan kami dapat melaksanakan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.




Ibu we juga mendoakan Ubaidah sentiasa sihat, cergas dan cerdas, paling penting Ubaidah diizinkan Allah menghafaz kalamNya suatu hari nanti, biiznillah.

Moga-moga Ubaidah juga mendapat barokah dan ikutan akhlak sempena nama sahabat nabi yang dijanjikan jannah, Abu Ubaydah Al Jarrah. Mudah-mudahan Allah merahmatimu.

Monday 14 October 2013

8 : Tips anak mudah hafaz Al Quran (siri 2)

-Tanamkan hasrat dari janin-

1 : KEAZAMAN

Seawal-awal kandungan lagi ibu dan ayah perlu mempunyai keazaman untuk mendidik anak mereka menghafaz Al-Quran. Keazaman ataupun niat penting di dalam satu-satu perkara. Ianya adalah tindakan awal bagi memastikan kesinambungan gerak kerja seterusnya.

Hadis daripada Rasulullah S.A.W : Sesungguhnya setiap amalan itu dimulai atau disertai dengan niat dan sesungguhnya keatas setiap seseorang itu ( dibalas ) berdasarkan niat mereka.

Bagaimanakah niat atau keazaman itu dipraktikkan? Mari kita cari iktibar atau panduan yang  telah dipraktikkan oleh ibu Maryam Al Muqaddasah. Ketika di dalam kandungan lagi, Maryam Al Muqaddasah telah dinazarkan oleh ibunya. Beliau bernazar akan menyerahkan Maryam supaya berkhidmat dan menjadi ahli ibadah di Baitul Maqdis. Hayati lantunan ini :

(Ingatlah), ketika isteri ‘Imran berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada Engkau anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang saleh dan berkhidmat (di Baitul Maqdis). Karena itu terimalah (nazar) itu dari padaku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (3:35)

Allah  telah  menerima nazarnya lalu memerintahkan Nabi Zakaria sebagai penjaga Maryam, lalu menurunkan ayat :     

Maka Tuhannya menerimanya (sebagai nazar) dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikan Zakariya pemeliharanya. (3:37).

Keazaman ibu Maryam sudah lama tersemat di dalam hatinya untuk menjadikan Maryam sebagai seorang yang mengabdikan diri untuk Allah taala. Lantaran itu terkeluarlah nazar dari mulutnya yang menunjukkan keazaman yang kuat.

2 : DOA

Doa khasnya untuk anak yang berada di dalam kandungan. Doa yang istiqamah dari ibu ayah melambangkan kesungguhan mereka dalam mendidik mereka. Allah juga telah menukilkan keistimewaan doa di dalam Surah Al Baqarah:

Mintalah kepadaKu, sesungguhnya aku akan menjawab/mengabulkan permintaanmu.

Berdoalah dengan suara yang kuat dan berulang-ulang kali, supaya dia yang kecil di dalam rahim dapat mendengar doa ibu dan ayahnya sehinggalah sikap ini dikatakan boleh menjadikan mind setting bayi anda.

3 : KENALKAN DENGAN AYAT-AYAT AL QURAN

Selalu membaca Al Quran dan dalam masa yang sama kita dapat memperdengarkan dan memperkenalkan bayi dalam kandungan dengan ayat-ayat suci Al Quran. Sentiasa istiqamah membaca Al Quran, sekurang-kurangnya satu muka selepas solat.

Sesetengah ulama' ada menyusun surah-surah yang patut dilazimi ketika mengandung. Antara penyusunan surah-surah yang mudah ketika mengandung adalah seperti berikut :

1.Surah Yusuff
2.Surah Luqman
3.Surah Maryam
4.Surah At Taubah

Tetapi lebih elok kita sebagai ibu dan ayah dapat mengkhatamkan bacaan Al Quran ketika mengandung. Faedahnya sangat banyak dan mendatangkan pahala.

4 : SAMPAIKAN HASRAT DENGAN BERKOMUNIKASI

Alangkah bahagianya pasangan ayah dan ibu ketika berkomunikasi dengan bayi di alam rahim. Mana tidaknya, setiap kata-kata pasti akan disusuli dengan respon yang mengujakan. Lebih-lebih lagi bacaan ayat Al Quran dan kata-kata positif, pasti akan disusuli dengan respon atau 'tendangan' yang menakjubkan.

Mustahak bagi pasangan ayah dan ibu menyampaikan hasrat mereka terhadap anak yang dikandung dengan cara berkomunikasi. Sentiasa bercakap, berpesan dan bercerita tentang hasrat murni ibu dan ayah ingin menjadikan anak mereka penghafaz Al Quran. Tindakan ini akan menjadikan anak anda menerima info ke mindanya dan bersedia dengan hasrat ibu dan ayahnya sebaik dilahirkan.

Sunday 6 October 2013

7 : Gapai pahala syahid dengan Zulhijjah



Hari ini 2 Zulhijjah 1434 hijrah, mudah-mudahan tidak terlambat lagi untuk berkongsi artikel dan amalan terbaik sepanjang Zulhijjah

((مَا مِنْ أَيَّامٍ، الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ  -يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ- قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟

قَالَ: وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ)). [رواه اأحمد 1968، والترمذي 757، واللفظ له].

Maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah?Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” [HR: Ahmad, At-Tirmizi].

Di bawah adalah artikel yang dikongsi daripada Dr Abdul Basit Al Madani :  sumber


AMALAN-AMALAN YANG BAIK DILAKUKAN PADA HARI-HARI TERSEBUT:

1. SOLAT. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan. Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” [HR Muslim]. Ini umum untuk semua waktu.

2. PUASA. Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” [HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei]
Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.

3. TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID.

 Ini kerana hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari:  “Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”

Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”

Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.

Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti  orang-orang soleh yang terdahulu.

Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:

الله أَكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر كَبِيْراً.

الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إِلا الله وَالله أكْبَر.

الله أكْبَر. وَلِلّهِ الْحَمْد.

الله أكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر.

 لا إِلهَ إلا الله وَالله أكْبَر.

الله أكْبَر. الله أكْبَر . وَلله الْحَمْد.

 

4. PUASA PADA HARI ARAFAH. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.

 ((صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ)) [رواه مسلم]

Maksudnya: “Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” [HR Muslim].

PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang  yang TIDAK mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.

5. KELEBIHAN HARI RAYA KORBAN (YAUM AN-NAHR), 10 ZULHIJJAH.

Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelusuk dunia. Sesetengah ulama’ berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal didalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari kesebelas Zulhijjah).
Setengah ulama’ lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.

Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.

Samada hari Nahr  atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.

Selamat beramal !


Saturday 5 October 2013

6 : Tiada televisyen?

"Ya, rumah saya tiada tv", jawab saya kepada jiran sebelah rumah. Jiran saya siap menggeleng-geleng kepala mendengar jawapan saya. Anaknya pula sambil panggil ayahnya, sambil menjerit  " abah, rumah Huzaifah tak ada tv". Lucu pulak mengenangkan.

Dulu-dulu, saya suami isteri buat keputusan untuk tidak membeli tv kerana ekonomi rumahtangga kami kurang stabil. Iyelah nak beli tv lebih baik beli perkakasan yang lain. Tv LCD, flat screen, skrin 3D, banyak juga belanjanya. Jadi, kiv dulu keinginan tu.

CABARAN JADI MANFAAT

Tetapi setelah beberapa bulan hidup tanpa tv, saya rasa lebih selesa dan sedikitpun tidak ternanti-nanti akan kehadirannya. Dalam pemerhatian saya, anak-anak lebih berada di alam realiti. Mereka mengulit buku setiap masa, bermain dan berkomunikasi sesama mereka, rajin menolong dan minda lebih realistik.

Sebenarnya hidup tanpa tv lebih berdisiplin dan menghargai masa. Kita yang akan tentukan masa, mengatur jadual dan mencipta plot cerita kita tersendiri. 

NEGATIF TV

Sebagai seorang warden sekolah berasrama, saya telah diberikan rumah penginapan kedua di dalam sekolah. Ada tv yang amat besar di dalam rumah tersebut. Apabila saya pasang tv, anak-anak akan khusyu' lihat setiap cerita yang ditayangkan. Cerita kartun, cerita orang dewasa, cerita orang tua, semuanyalah, habis mereka bolot. Yang kecil pun sampai ternganga-nganga.

Bila saya minta tolong apa-apa dengan anak sulung, dia akan buat cepat-cepat permintaan saya sambil mata menoleh ke skrin tv. Saya rasa dia tidak fokus. Ketika buat  kerja sekolah dan mengaji, pasti nak cepat-cepat supaya dapat tengok tv kembali.

Bila balik ke rumah luar, selalu anak-anak saya bertanya, hari apa nak pergi pulak rumah warden,sebabnya teringat-ingatkan kartun di tv.

Tak boleh jadi, desis saya dalam hati. Suatu hari saya cabut plug dan bungkus tv letak tepi rumah. Mengamuk juga anak-anak saya. Tapi, tidak sampai seminggu mereka dah terlupa kewujudan TV tepi rumah warden.
cerita seram dalam televisyen beri kesan negatif pada masyarakat
Ketika mereka masih menonton TV,  saya terperasan anak-anak saya pandai menyanyi, menari dan suka meniru iklan. Budaya hedonisme berleluasa di dalam rumah. Kadang kala ketakutan pula. Mana tidaknya segala jenis hantu menghantui mereka. Ganas memang tidak dapat dipisahkan apabila setiap ketika menonton ultraman dan seangkatan dengannya. Jika ditegur, berhentilah seketika, kemudian meniru lagi kerana mereka tidak boleh lari dari meniru tontonan setiap masa . 

Mengikut blog www.lovehijau.com beberapa kajian yang dilakukan di USA, anak-anak yang sentiasa menonton TV menjadikan mereka kurang motivasi, malas berfikir, kurang kreativiti dan kurang kemahiran psikomotor. Jika ini terjadi kepada anak-anak muslim kita, saya berasa amat rugi. Ini adalah sebahagian usaha Yahudi yang berjaya mempengaruhi pemikiran umat Islam.

ALTERNATIF

Untuk mengelakkan anak mendapat kejutan budaya, saya belikan juga cd-cd cerita kartun yang banyak manfaatnya seperti upin-ipin dan cerita-cerita kartun islamik yang lain. Banyak juga saya memuat turun dokumentari contoh teladan dari youtube. Buku-buku dan mainan-mainan juga saya pelbagaikan supaya mereka tidak cepat bosan dan sentiasa terisi masanya. Tetapi, tidak boleh dielakkan, jika mereka pulang ke kampung atau ikut saya menziarahi kawan-kawan, mata mesti terpaku di skrin tv. Tidak mengapalah, kali ini hati tidak begitu resah, memandangkan sekali sekala sahaja mereka akan berjumpa makhluk perosak itu.



Friday 4 October 2013

5 : Tips anak mudah hafaz Al Quran (siri 1)

Rasanya hampir seluruh pasangan ibu ayah ada impian dan niat untuk mendidik anak-anak mereka menghafaz Al Quran. Dalam motivasi mendidik anak-anak mengenal dan menghafaz Al Quran, selalulah kita mencungkil hadis-hadis motivasi dari Rasulullah ganjaran terhafap penghafaz dan pengamal Al Quran.

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu Al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

Antara kaedah asas yang mesti ada dalam mendidik anak menghafaz adalah ;

1 : MENGENAL HURUF-HURUF AL QURAN

Anak-anak yang sedia kenal huruf-huruf Al quran adalah bonus dalam menghafaz. Kenal dahulu, baca, hafaz dan ulang. Pengalaman saya mengajar anak-anak kecil mengaji di rumah,  amat payah sekiranya mereka hanya menghafaz tetapi tidak mengenal huruf-huruf hijai'yyah. Ketika masih bayi, ibu dan ayah boleh mengajar menggunakan kad imbasan yang menarik dan berwarna-warni.

Ketika pertengahan umur, saya mencadangkan agar ibu dan ayah mengajar anak-anak kaedah mempelajari Al quran dengan kaedah Qiraati. Aplikasinya lebih mudah dan menggunakan Rasm Uthmani.




2 : BACA AL QURAN

Sambil anak-anak menghabiskan bacaan Qiraati mereka, ibu dan ayah boleh mula mengenalkan mereka dengan Al Quran. Baca surah-surah mudah yang selalu dibacakan di dalam solat dan boleh mula menghafaz.

Mulakan dengan juz 'amma atau juzu' 30 kerana bacaannya ringan dan selalu didengar. Istiqamahlah dalam mendidik anak membaca Al Quran, memadai dengan 1 atau 2 muka surat sehari. Sentiasa lazimi pujian jika Al Quran dibaca dengan lancar.



3 : HAFAZ AL QURAN

Ketika sudah lancar membaca Al Quran, anak-anak boleh dilatih dengan menghafaz kalamNya. Setiap kali sebelum memulakan hafazan, seeloknya kita memberikan motivasi dengan memperdengarkan hadis Rasulullah atau kisah-kisah menarik ganjaran penghafaz Al Quran. Anak-anak akan sentiasa bersemangat dalam menghafaz.

Mulakan menghafaz surah dari juzu' 'amma kerana sudah terbiasa membacanya dan surah-surahnya adalah pendek. Jaga TAJWID dan MAKHRAJ huruf ketika menghafaz. Menjaga 2 perkara ini amat penting diawal hafazan, supaya mereka tidak terbiasa dalam kesalahan bacaan.

Berterusan menghafaz 1 atau 2 surah sehari.

4 : MURAJAH HAFAZAN

Kaedah murajaah adalah paling penting dalam hafazan. Dalil naqli yang di datangkan dari sebuah hadis : 

Ditunjukkan kepadaku pahala-pahala umatku hingga (pahala) kotoran yang dikeluarkan seseorang dari Masjid. Dan ditunjukkan kepadaku dosa-dosa umatku. Maka tidaklah kulihat dosa yang lebih besar daripada surah atau ayat dari Al-Quran yang dihafaz oleh seseorang, kemudian dilupakannya .Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi (wal 'iya'uzubillah, peringatan untuk diri yang lupa...).

Seeloknya, sebelum memulakan hafazan baru, murajaah dahulu hafazan lama. Banyak kaedah murajaah yang berkesan yang telah disyorkan ulama' agung. Setakat ini, alhamdulillah anak-anak dapat lagi istiqamah mengulang hafazan lama. Jika mengambil masa yang lama, murajaah boleh dibuat 2 kali sehari dalam suasana santai. Selalunya anak-anak saya akan murajaah di dalam kereta sahaja ketika pulang dari sekolah.



5 : AMALKAN APA YANG DIHAFAZ

Mampukah kita melatih anak-anak supaya senang beramal dengan hafazannya? Jawapan saya, senang sahaja. Sebagai contoh amal dan faham dari surah Al Kauthar :

1. Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat)
2.Oleh itu kerjakanlah sembahyang kepada tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban(sebagai tanda syukur)
3. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yg terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya.)

Beramal bermaksud faham akan ayat yang dibaca. Kita perlu menjelaskan secara berperingkat-peringkat maksud ayat bukanlah secara sekaligus. Anak saya 8 tahun, 5 tahun dan 2 tahun. Bila saya terangkan maksud surah Al Kauthar :

Abang pah akan kata " ooo, maknanya Allah sayang Rasulullah, sebab tu Rasulullah mintak kita sembahyang untuk terima kasih kat Allah, sebab Allah dah bagi kebaikan pada Rasulullah dan kita"

Abang samah pulak akan kata " sembelih lembu tu sebab kita cakap syukur,terima kasih Allah lah"

Kefahaman begini pun saya dah bahagia sangat, kerana bagi saya cukup aplikasi yang diajar. Lain kali dia akan ingat solat semata-mata kerana berterima kasih kepada Allah dan faham ibadah korban juga tanda terima kasih pada Allah juga.

Saya nak berkongsi 2, 3 video motivasi buat ibu dan ayah supaya mendidik anak-anak hafaz Al Quran, tapi server perlahan pula hari ini, i.allah di lain kali.

Tuesday 1 October 2013

4 : PMR

Ketika melangkah ke sekolah pagi ini, terasa debaran yang begitu ketara di dalam dada. Hari ini hari besar buat anak didikku tingkatan 3 Al Kindi dan tingkatan 3 yang lainnya.Menjadi seorang pendidik sejak sekian lama, telah menjadi kebiasaan berkongsi debaran pada hari peperiksaan mereka.

Bulatan gembira menjadi bulatan duka hari ini

Hari ini juga, bulatan gembira telah bertukar menjadi duka.Di dalam bulatan ini mereka membaca doa wehdah dengan penuh semangat dan membaca doa pengharapan dengan juraian air mata. Guru- guru tidak putus mendoakan yang terbaik dan memberikan kata-kata positif sebagai rangsangan.

Seorang demi seorang datang meminta maaf dan minta diberikan restu atas ilmu yang dicurahkan. Saya restu atas ilmu yang diberikan kerana ilmu hanyalah milikNya.

"Anak-anak, ini hanyalah ujian dunia di mana ianya adalah sedikit  nilaiannya berbanding ujian akhirat. Sekiranya telah laksanakan amanah ini dengan baik, pasti ada ganjaran yang terbaik juga yang Allah sediakan" pesan saya.

Mudah-mudahan mereka tidak lupa berusaha  bersungguh-sungguh menjalani ujian kehidupan demi akhirat nanti. Kerana air mata dan ketakutan itu adalah lebih afdhal untuk ketakutan berdepan hari pengakhiran nanti.