Monday 28 October 2013

15 : Tips surirumah berinformasi

Sebagai umat Islam kita digalakkan untuk mengambil cakna keadaan sekeliling. Tidak dinafikan sebagai seorang suri di rumah, kurang pembacaan dan masa yang sempit menjadikan kita selalu ketinggalan informasi ummah. Sebagai surirumah sama ada bekerjaya ataupun tidak, sekurang-kurangnya 90% dalam minda kita adalah menguruskan suami, anak-anak dan rumah.

Islam menganjurkan kita supaya sentiasa mengambil tahu hal keadaan sekeliling. Sabda Rasulullah : man qola Lailahaillallah fahua ad da'ie. Maksudnya : Siapa yang mengucapkan Lailahaillallah, maka dia itu adalah pendakwah. Tidak kira kita ini surirumah, guru, kakitangan awam dan sebagainya, maka kita adalah pendakwah. Antara sikap pendakwah adalah tahu dan sebar.

Beberapa tips yang ingin dikongsikan buat surirumah cakna ummah :

1. WAJIB CARI MASA UNTUK BACA BERITA

Bekerja sebagai rabbatul bait (surirumah), menjadikan masa ibarat emas, setiap masa dan ketika ada sahaja pekerjaan yang perlu dilakukan dan ianya tidak berkesudahan. 

Carilah sedikit masa, ketika diawal pagi, lewat malam atau ketika waktu senggang ( hanya kita yang tahu, bila masa itu) untuk mentelaah isu-isu, berita-berita dalam dan luar negeri. 

Berita atau informasi yang telah dibaca perlu dipadankan dengan saluran berita yang lain agar sifat adil dapat diaplikasikan. Tidak dinafikan segelintir berita hanya memaparkan berita yang kadangkala tidak sahih bagi melariskan jualannya.

Ingat, jangan semata-mata berita artis atau misteri sahaja yang dibaca, tetapi keseluruhan informasi dalam dan luar negeri, dunia, politik, bisnes, sukan dan sebagainya mesti dihadamkan. 







2. CUBA SEBARKAN

Sebarkan maklumat yang kita dapat walaupun sedikit. Sebagai contoh ketika berbual dengan jiran, ketika mengajar, di pejabat, kongsikan di dalam FB , di dalam usrah ataupun sebagainya. Selitkan sedikit informasi yang telah kita dapat, agar setiap perbualan, percakapan dan penulisan padat dengan perkongsian ilmiah. Ada manfaat kan? Tidaklah hanya berbual kosong. 

Hatta bersama anak-anakpun kita patut berkongsi informasi secara santai. Terangkan berita secara mudah, tunjukkan video dan gambar. Dengan cara itu, anak lebih faham dan sentiada cakna keadaan di sekelilingnya.

3. SENTIASA DENGAR TAZKIRAH ATAU PERINGATAN

Medan ilmu sentiasa terbuka luas untuk kita. Zaman millenium ini, semua berita dan apa yang kita mahu berada di hujung jari. Maka tiada alasan Islam dan ilmunya tidak dapat  berkembang. Pentingnya tazkirah atau peringatan, Allah sebut ianya di dalam surah az zariyat ayat 55 yang bermaksud : Dan tetaplah memberi peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang yang beriman.

Mendengar tazkirah atau menghadiri majlis-majlis ilmu bukannya semata-semata menghadap tok guru atau ustaz di depan mata. Kelas-kelas online ataupun tazkirah maya sentiasa ada untuk kita nikmati. Tinggal click atau tidak sahaja. 

Penting bagi kita surirumah bekerjaya ataupun tidak, untuk mengetahui hukum-hakam terkini. Setiap hukum-hukum feqah ataupun syariat yang diturunkan ini mengikut kesesuaian perlaksanaannya. Ini kerana setiap hukum hakam feqah adalah setiap perkara yang berlaku dalam detik kehidupan. Jika rajin mendengar, mesti banyak pertanyaan dan persoalan. Dan setiap persoalan itu ada jawapan dan gurunya.

4. TANAMKAN NIAT INGIN TAHU TERHADAP ANAK-ANAK

Semenjak kecil lagi, anak-anak perlu diterapkan perasaan ingin tahu dan cakna terhadap keadaan sekelilingnya, umumnya terhadap Islam. Sikap ini bagus diterapkan di dalam diri kanak-kanak kerana akan meningkatkan lagi banyak sikap-sikap yang positif dalam dirinya. 

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak sentiasa didedahkan dengan perlakuan zalim yang telah dilakukan terhadap umat islam, maka sifat toleransi, kasih sayang dan semangat yang tinggi akan timbul dalam jiwanya.  

Berceritalah tentang keadaan semasa seperti Islam ditindas di negara-negara miskin, pergolakan  di Syria, Mesir, Rohingya dan sebagainya dengan cara santai dan bahasa yang mudah difahami. Itu lebih baik daripada menceritakan kisah-kisah dongeng sebelum tidur.


No comments:

Post a Comment