Friday 4 October 2013

5 : Tips anak mudah hafaz Al Quran (siri 1)

Rasanya hampir seluruh pasangan ibu ayah ada impian dan niat untuk mendidik anak-anak mereka menghafaz Al Quran. Dalam motivasi mendidik anak-anak mengenal dan menghafaz Al Quran, selalulah kita mencungkil hadis-hadis motivasi dari Rasulullah ganjaran terhafap penghafaz dan pengamal Al Quran.

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu Al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

Antara kaedah asas yang mesti ada dalam mendidik anak menghafaz adalah ;

1 : MENGENAL HURUF-HURUF AL QURAN

Anak-anak yang sedia kenal huruf-huruf Al quran adalah bonus dalam menghafaz. Kenal dahulu, baca, hafaz dan ulang. Pengalaman saya mengajar anak-anak kecil mengaji di rumah,  amat payah sekiranya mereka hanya menghafaz tetapi tidak mengenal huruf-huruf hijai'yyah. Ketika masih bayi, ibu dan ayah boleh mengajar menggunakan kad imbasan yang menarik dan berwarna-warni.

Ketika pertengahan umur, saya mencadangkan agar ibu dan ayah mengajar anak-anak kaedah mempelajari Al quran dengan kaedah Qiraati. Aplikasinya lebih mudah dan menggunakan Rasm Uthmani.




2 : BACA AL QURAN

Sambil anak-anak menghabiskan bacaan Qiraati mereka, ibu dan ayah boleh mula mengenalkan mereka dengan Al Quran. Baca surah-surah mudah yang selalu dibacakan di dalam solat dan boleh mula menghafaz.

Mulakan dengan juz 'amma atau juzu' 30 kerana bacaannya ringan dan selalu didengar. Istiqamahlah dalam mendidik anak membaca Al Quran, memadai dengan 1 atau 2 muka surat sehari. Sentiasa lazimi pujian jika Al Quran dibaca dengan lancar.



3 : HAFAZ AL QURAN

Ketika sudah lancar membaca Al Quran, anak-anak boleh dilatih dengan menghafaz kalamNya. Setiap kali sebelum memulakan hafazan, seeloknya kita memberikan motivasi dengan memperdengarkan hadis Rasulullah atau kisah-kisah menarik ganjaran penghafaz Al Quran. Anak-anak akan sentiasa bersemangat dalam menghafaz.

Mulakan menghafaz surah dari juzu' 'amma kerana sudah terbiasa membacanya dan surah-surahnya adalah pendek. Jaga TAJWID dan MAKHRAJ huruf ketika menghafaz. Menjaga 2 perkara ini amat penting diawal hafazan, supaya mereka tidak terbiasa dalam kesalahan bacaan.

Berterusan menghafaz 1 atau 2 surah sehari.

4 : MURAJAH HAFAZAN

Kaedah murajaah adalah paling penting dalam hafazan. Dalil naqli yang di datangkan dari sebuah hadis : 

Ditunjukkan kepadaku pahala-pahala umatku hingga (pahala) kotoran yang dikeluarkan seseorang dari Masjid. Dan ditunjukkan kepadaku dosa-dosa umatku. Maka tidaklah kulihat dosa yang lebih besar daripada surah atau ayat dari Al-Quran yang dihafaz oleh seseorang, kemudian dilupakannya .Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi (wal 'iya'uzubillah, peringatan untuk diri yang lupa...).

Seeloknya, sebelum memulakan hafazan baru, murajaah dahulu hafazan lama. Banyak kaedah murajaah yang berkesan yang telah disyorkan ulama' agung. Setakat ini, alhamdulillah anak-anak dapat lagi istiqamah mengulang hafazan lama. Jika mengambil masa yang lama, murajaah boleh dibuat 2 kali sehari dalam suasana santai. Selalunya anak-anak saya akan murajaah di dalam kereta sahaja ketika pulang dari sekolah.



5 : AMALKAN APA YANG DIHAFAZ

Mampukah kita melatih anak-anak supaya senang beramal dengan hafazannya? Jawapan saya, senang sahaja. Sebagai contoh amal dan faham dari surah Al Kauthar :

1. Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat)
2.Oleh itu kerjakanlah sembahyang kepada tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban(sebagai tanda syukur)
3. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yg terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya.)

Beramal bermaksud faham akan ayat yang dibaca. Kita perlu menjelaskan secara berperingkat-peringkat maksud ayat bukanlah secara sekaligus. Anak saya 8 tahun, 5 tahun dan 2 tahun. Bila saya terangkan maksud surah Al Kauthar :

Abang pah akan kata " ooo, maknanya Allah sayang Rasulullah, sebab tu Rasulullah mintak kita sembahyang untuk terima kasih kat Allah, sebab Allah dah bagi kebaikan pada Rasulullah dan kita"

Abang samah pulak akan kata " sembelih lembu tu sebab kita cakap syukur,terima kasih Allah lah"

Kefahaman begini pun saya dah bahagia sangat, kerana bagi saya cukup aplikasi yang diajar. Lain kali dia akan ingat solat semata-mata kerana berterima kasih kepada Allah dan faham ibadah korban juga tanda terima kasih pada Allah juga.

Saya nak berkongsi 2, 3 video motivasi buat ibu dan ayah supaya mendidik anak-anak hafaz Al Quran, tapi server perlahan pula hari ini, i.allah di lain kali.

No comments:

Post a Comment