Sunday 20 October 2013

11 : Tangguhkan dulu niat itu...


Seronok sungguh membaca artikel-artikel hebat di sini. Selesai membacanya, saya kerap berangan-angan dengan anganan yang entah bila boleh terlaksana. Mulianya seorang wanita yang dihadiahkan pelbagai pemberian Allah taala. Anak dikandung di dalam rahimnya, nikmat atau penghargaan apakah lagi yang boleh menandinginya? Mulia sungguh pengorbanan ibu yang sanggup berhenti kerja semata-mata ingin membina corak langkah anak-anak dengan tangannya sendiri. Mereka berani menentang cita-cita yang selama ini diidamkan, semata-mata menjaga anak-anak di rumah. Tinggalkan gaji yang tinggi, pendidikan yang tinggi, yang nampak hanyalah wajah suami dan anak-anak yang perlu disantuni.


 FENOMENA BARU

Dewasa ini pula banyak peluang pekerjaan yang hanya melibatkan diri di hadapan komputer dan di dalam rumah. Mudah kata, peluang pekerjaan yang mencurah-curah untuk suri rumah. Lihat saja ruang-ruang kosong di sini; kebanyakan penghuninya adalah suri rumah sepenuh masa dan antaranya adalah suri rumah bekerjaya. Ianya mudah, praktikal dan fleksibel.Tinggal lagi komitmen para pelajar pula bagaimana rupanya.

TERASA HATI

Tetapi, setelah berfikir-fikir sedalam-dalamnya, ada benda yang saya rasa tidak kena, ulu hati tiba-tiba rasa pedih, lalu mata mengeluarkan air jernih. Ya, profesion seperti saya jarang diendahkan. Sesekali membaca artikel-artikel motivasi para suri, selalu terkesamping kami ini. Tidak dapat dinafi, nganjaran yang maha banyak dari Allah jalla wa ala, tetapi sebagai manusia, kami dahagakan sokongan dan dokongan dari semua.

Pernah dahulu, di dalam majlis penganugerahan kecemerlangan para pelajar, saya mengucapkan tahniah kepada seorang ibu pelajar cemerlang dan dedikasi. "Tahniah puan atas kecemerlangan anak puan!", jawab si ibu "Terima kasih, kerana sayalah anak saya cemerlang, saya surirumah, tidak bekerja, dapat pantau anak-anak, tak dapat saya bayangkan kalau saya kerja macam ustazah, mungkin porak peranda hidup saya'. Alangkah, sedikit terima kasih pun tidak terlintas di hatinya untuk ucapkan kepada guru cabuk ini, malah saya rasa dia menghina saya pula, sedangkan anaknya duduk di asrama 24 jam, guru cabuk inilah yang mamantau pergerakan anaknya!

MURABBI

Cita-cita saya sejak dahulu adalah murabbi, pendidik anak-anak ummah. Bukan sekadar mengajar tetapi MENDIDIK. Tidak sampai hati melepaskan pekerjaan saya ini semata-mata mahukan kehidupan selesa. Tetapi doa saya setiap hari, suatu hari nanti akan tercapai juga impian saya yang mana ianya adalah impian semua surirumah iaitu menjadi suri hati suami dan anak-anak setiap masa.

Tidak dapat dibayangkan sekiranya saya dan para surirumah lain berhenti mengajar dan mendidik, apa akan jadi kepada generasi akan datang! Lihat saja keratan-keratan di dada akhbar, ini hanyalah 1% berbanding banyak lagi kes-kes remaja yang tidak kita ketahui. Yang dipaparkan ini baru bab jenayah, tidak campur lagi bab solat, baca Al Quran, akhlak dan sebagainya.

RABBATUL BAIT

Saya selalu optimis Allah jalla wa 'ala memandang setiap kebaikan yang dilakukan oleh hambaNYa. Mudah-mudahan dengan usaha dan jasa kecil ini, Allah lindungi anak-anak saya dari perkara yang tidak diingini dan mereka sentiasa dalam keadaan yang baik.

Selalu teringat kalam bekas murabbiku, katanya ajar dan didiklah pelajar-pelajar kita seperti kita mendidik anak kita sendiri, nescaya anak-anak kita juga bakal dididik dengan sepenuh perhatian oleh gurunya. Alhamdulillah, kata-kata itulah yang saya pegang kejap, hanya mengharapkan nusrah Allah dalam melayari profesion bekerjaya ini.

Menjadi idola saya juga, YB Zailah, Mumtaz dan ramai lagi ibu bekerjaya sebagai doktor, jururawat dan mereka yang memberi jasa kepada agama dan negara, dalam masa yang sama dianugerahkan anak-anak yang hebat.

Para suri, saya ucapkan beribu tahniah, meninggalkan kerjaya demi keluarga, kerana suatu masa nanti saya akan mendapat title itu juga. Dan mendidik anak-anak adalah bermula dari rumah, di mana ibu dan ayahnya dahulu yang mendidiknya sebelum dia dididik oleh para guru.

No comments:

Post a Comment