Friday 25 October 2013

13 : 23 tahun Kelantan bersama kepimpinan ulama'

Dekat 8 tahun juga saya telah bermastautin di Kelantan. 5 tahun ketika di tingkatan 1 hingga 5 dan selebihnya bermula tahun 2011 saya memulakan tugas di Maahad Tahfiz Sains, Tanah Merah.

Walaupun kemodenannya tidak boleh disamakan dengan negeri Johor yang ramai mengatakannya sebagai maju, tetapi beberapa prasyarat utama menjadikan saya selesa berada di Kelantan. 

2-3 hari lepas sempat juga saya membuat liputan program sambutan 23 tahun kerajaan Kelantan Membangun Bersama Islam. Program bermula dengan munajat dan solat hajat jam 3.30pagi  dan diimamkan oleh ustaz Nik Razi Nik Mat dari Pusat Pengajian Pondok Kandis. Ini satu pendekatan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri yang sangat mesra ibadah.

Pelbagai program yang dianjurkan kerajaan negeri wajib bermula dengan solat hajat dan munajat menjadikan saya dan keluarga di Johor sana sentiasa peka dengan program anjuran kerajaan Kelantan. Tahun lepas ibu dan adik-adik saya sempat merasai nikmatnya berqaryah Ramadhan di Kelantan. Jadi, tidak peliklah kalau ibu saya sentiasa menziarahi kami di sini.

Uniknya, tahun ini Kelantan telah bertukar Menteri Besar. Tetapi ianya bukanlah satu kelemahan, malah kelebihan kerana Ustaz Ahmad Yaakob adalah pilihan Tok Guru sendiri.Setelah mendengar beberapa ucapan pemimpin-pemimpin negeri ,ada beberapa perkara yang hendak saya syorkan kepada negeri-negeri luar yang patut dicontohi, antaranya:

1)SISTEM PERBELANJAAN

Umum telah mengetahui Kelantan selalu mewar-warkan bajet defisit di dalam belanjawan mereka, tetapi setiap akhir tahun berlaku lebihan hasil apabila mereka mengamalkan pengurusan yang cekap dan penjimatan dalam urusan perbelanjaan. Ini adalah satu sikap yang patut dipuji dan dicontohi. Pandangan saya, amat sukar untuk kita mendengar lebihan belanja dari mana-mana negeri, tetapi Kelantan berjaya melakukannya.

2)MENDAHULUKAN PENDIDIKAN AGAMA

Kelantan adalah satu-satunya kerajaan yang menerajui kepentingan pendidikan Islam dan akhir-akhir ini telah diikuti oleh beberapa negeri lain. Dalam bajet 2014 Kelantan telah memperuntukkan RM72.0 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi melaksanakan program-program pendidikan dan menyediakan peruntukan sebanyak RM4.0 juta bagi projek pembangunan, menyelenggara dan menaiktaraf 91 buah sekolah di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan. Perlaksanaan ini adalah menjadi satu lumrah bagi kerajaan Kelantan yang selalu berbelanja besar bagi pembangunan rohani ummah.

3)KEBAJIKAN PEKERJA

Baru minggu lepas kerajaan negeri mengumumkan tambahan cuti 30 hari kepada kakitangan kerajaan yang kematian suami kali pertama daripada hanya 3 hari sebelum ini. Ini adalah satu usaha pihak kerajaan dalam memberikan kebajikan yang optimum terhadap pekerjanya. Pada tahun 2011 juga telah diumumkan cuti 60 hari bagi kakitangan kerajaan yang telah melahirkan anak daripada hanya 2 bulan sebelum ini. Kelantan berjaya menerajui langkah yang positif ini, kemudian telah di ikuti oleh negeri-negeri lain.

Banyak lagi sebenarnya perubahan-perubahan yang berjaya diusahakan oleh kerajaan Negeri Kelantan semenjak bernaung di bawak pemerintahan ulama'.  Saya optimis kerajaan yang mementingkan rohani berbanding jasmani akan mendapat kejayaan juga di akhirnya nanti. Walaupun ada lagi item-item yang masih dalam fasa pembinaan dan pengubahsuaian, tetapi ianya dapat dikaburi dengan projek-projek mega positif yang telah dilaksanakan kerajaan Kelantan dengan jayanya. Saya mendoakan negeri kesayangan serambi Mekah ini suatu hari nanti dapat mencontohi Negara Brunei yang kaya hasilnya tetapi dalam masa yang sama taat akan perintah Allah taala. Mudah-mudahan, suatu hari nanti.


No comments:

Post a Comment