Saturday 5 October 2013

6 : Tiada televisyen?

"Ya, rumah saya tiada tv", jawab saya kepada jiran sebelah rumah. Jiran saya siap menggeleng-geleng kepala mendengar jawapan saya. Anaknya pula sambil panggil ayahnya, sambil menjerit  " abah, rumah Huzaifah tak ada tv". Lucu pulak mengenangkan.

Dulu-dulu, saya suami isteri buat keputusan untuk tidak membeli tv kerana ekonomi rumahtangga kami kurang stabil. Iyelah nak beli tv lebih baik beli perkakasan yang lain. Tv LCD, flat screen, skrin 3D, banyak juga belanjanya. Jadi, kiv dulu keinginan tu.

CABARAN JADI MANFAAT

Tetapi setelah beberapa bulan hidup tanpa tv, saya rasa lebih selesa dan sedikitpun tidak ternanti-nanti akan kehadirannya. Dalam pemerhatian saya, anak-anak lebih berada di alam realiti. Mereka mengulit buku setiap masa, bermain dan berkomunikasi sesama mereka, rajin menolong dan minda lebih realistik.

Sebenarnya hidup tanpa tv lebih berdisiplin dan menghargai masa. Kita yang akan tentukan masa, mengatur jadual dan mencipta plot cerita kita tersendiri. 

NEGATIF TV

Sebagai seorang warden sekolah berasrama, saya telah diberikan rumah penginapan kedua di dalam sekolah. Ada tv yang amat besar di dalam rumah tersebut. Apabila saya pasang tv, anak-anak akan khusyu' lihat setiap cerita yang ditayangkan. Cerita kartun, cerita orang dewasa, cerita orang tua, semuanyalah, habis mereka bolot. Yang kecil pun sampai ternganga-nganga.

Bila saya minta tolong apa-apa dengan anak sulung, dia akan buat cepat-cepat permintaan saya sambil mata menoleh ke skrin tv. Saya rasa dia tidak fokus. Ketika buat  kerja sekolah dan mengaji, pasti nak cepat-cepat supaya dapat tengok tv kembali.

Bila balik ke rumah luar, selalu anak-anak saya bertanya, hari apa nak pergi pulak rumah warden,sebabnya teringat-ingatkan kartun di tv.

Tak boleh jadi, desis saya dalam hati. Suatu hari saya cabut plug dan bungkus tv letak tepi rumah. Mengamuk juga anak-anak saya. Tapi, tidak sampai seminggu mereka dah terlupa kewujudan TV tepi rumah warden.
cerita seram dalam televisyen beri kesan negatif pada masyarakat
Ketika mereka masih menonton TV,  saya terperasan anak-anak saya pandai menyanyi, menari dan suka meniru iklan. Budaya hedonisme berleluasa di dalam rumah. Kadang kala ketakutan pula. Mana tidaknya segala jenis hantu menghantui mereka. Ganas memang tidak dapat dipisahkan apabila setiap ketika menonton ultraman dan seangkatan dengannya. Jika ditegur, berhentilah seketika, kemudian meniru lagi kerana mereka tidak boleh lari dari meniru tontonan setiap masa . 

Mengikut blog www.lovehijau.com beberapa kajian yang dilakukan di USA, anak-anak yang sentiasa menonton TV menjadikan mereka kurang motivasi, malas berfikir, kurang kreativiti dan kurang kemahiran psikomotor. Jika ini terjadi kepada anak-anak muslim kita, saya berasa amat rugi. Ini adalah sebahagian usaha Yahudi yang berjaya mempengaruhi pemikiran umat Islam.

ALTERNATIF

Untuk mengelakkan anak mendapat kejutan budaya, saya belikan juga cd-cd cerita kartun yang banyak manfaatnya seperti upin-ipin dan cerita-cerita kartun islamik yang lain. Banyak juga saya memuat turun dokumentari contoh teladan dari youtube. Buku-buku dan mainan-mainan juga saya pelbagaikan supaya mereka tidak cepat bosan dan sentiasa terisi masanya. Tetapi, tidak boleh dielakkan, jika mereka pulang ke kampung atau ikut saya menziarahi kawan-kawan, mata mesti terpaku di skrin tv. Tidak mengapalah, kali ini hati tidak begitu resah, memandangkan sekali sekala sahaja mereka akan berjumpa makhluk perosak itu.



No comments:

Post a Comment