Friday 27 September 2013

3 : Kado kehidupan

Dalam ingatan saya sudah 13 tahun saya berkecimpung secara serius di dalam bidang Al Quran. Dahulunya bidang ini adalah pilihan Allah dan ibu bapa untuk saya. Tetapi tidak untuk hari ini. Waktu dan detik ini, saya perlu ucapkan jutaan tahniah atas paksaan ayah dan ibu dahulu.

Kurang minat dan lambat menghafaz antara salah satu faktor Darul Quran Jakim tidak menjadi pilihan. Berbulan-bulan awalnya di Darul Quran, saya rasa resah dan mengalah. Ibulah yang memberi semangat setiap hari. Pesan ibu mesti istiqamah solat taubah selepas maghrib. Alhamdulillah, rasanya amalan ini sahajalah yang saya istiqamah sehingga sekarang.

Selesai di Darul Quran dengan penuh kepayahan, berhijrah pula ke Ardul Kinanah, bumi Mansurah, Mesir, dengan penuh kesukaran juga. Kali ini berganda-ganda. Di sini pahit tetapi manis.Mana tidak gembira apabila belajar, tasmi' dan murajaah Al Quran bersama para masyaikh kabir. Mulia nya mereka apabila mereka mengingati dan mengamalkan Al Quran.(sekarang antara mereka ada yang telah dibunuh oleh rejim kudeta Al Sisi, waffaqa kumullah ya syeikh ).

Kini, ilmu yang diperolehi perlu diturunkan kepada anak-anak didik di sekolah dan rumah. Amat rugi ibu dan ayah jika kita tidak terapkan untuk anak-anak qurratu a'yun. Mereka yang fitrahnya masih suci amat mudah menyerap apa yang diajar ibarat span yang menyerap air. Alhamdulillah anak saya, Huzaifah telah hafaz sebahagian juz 'Amma. Kalaupun terlambat, ianya lebih baik daripada tidak mencuba langsung.

Menghafaznya adalah senang dan praktikal. Kerana salah satu karakternya  adalah senang dihafaz dan diulang-ulang : “Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur'an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?.” (Al Qamar:17). Maka apalagi alasan kita?

Al quran, ia adalah kado kehidupan daripada Allah jalla wa 'ala untuk saya dan kita semua. Kemudian kita wajib mewariskan kado agung ini  kepada anak-anak.Ketika masih bernyawa inilah peluang untuk kita, ibu dan ayah berusaha keras membina anak-anak soleh pembina ummah kelak. Mari kita lakukan sekarang, walaupun agak terlambat, tetapi lebih baik daripada tidak mencuba langsung, betul kan?

No comments:

Post a Comment