Monday, 23 December 2013

28: Kelahiran menenangkan dan bersyariat ; satu impian!

Beberapa hari lepas saya berkongsi artikel yang menarik di dalam FB, tajuknya tentang kelahiran secara alami di rumah. Selang sahaja beberapa minit, ramai sahabat-sahabat perubatan yang PM saya agar delete sahaja artikel yang telah dikongsi di FB tadi untuk mengelakkan kontroversi. Mereka menceritakan negatifnya bersalin secara alami di rumah tanpa ditemani pegawai perubatan yang di iktiraf, kerana ianya boleh mendatangkan kematian akibat daripada sebarang implikasi yang tidak terduga.

Betul, saya amat setuju. Bagi saya kita sebagai khalifah utusan Allah, mempunyai akal yang tidak terbatas tidakkan dengan sengaja menempah maut begitu. Perkara sedemikian umpama menggadai nyawa. Proses bersalin bukanlah satu proses main-main dan hanya memandai-mandai. Ianya melibatkan nyawa, 2 nyawa melibatkan si ibu dan si anak, dengan cara bertawakkal sahaja sambil ditemani dengan sang suami yang tidak tahu apa-apa, amat besar kesilapan tersebut. Lainlah suami seorang pegawai perubatan yang diiktiraf, tidak ngapalah juga. Mudah-mudahan dengan pencerahan sahabat perubatan yang sabar, penuh ilmiah, berfakta dan sopan, boleh mencerahkan pandangan sisi kami ini yang cetek. Ya, setiap kita adalah pendakwah, dan daie para doktor ialah orang-orang awam yang cetek ilmunya.

Sebenarnya, dalam pada faham-faham angguk penerangan sahabat perubatan, masih lagi tersimpan dalam hati ini ingin bersalin dengan tenangnya tanpa dimarahi, disindir, diarahkan benda merepek oleh jururawat kesihatan.  Saya mempunyai 3 pengalaman bersalin yang berbeza sementelah sudah mempunyai tiga orang anak.

Pengalaman pertama, saya pernah melahirkan anak di rumah, hanya bertemankan suami dan seorang doula (konon2 hehehe) bernama Siti Khadijah Muhammad Yasin (sahabat saya, kebetulan dia berada di rumah waktu itu). Ini kelahiran anak sulung di Mansurah, Mesir berikutan tidak sempat ke hospital. Pagi jam 8 lebih, air ketuban bocor dan sejam selepas tu saya pun terus bersalin. Baby berusia tujuh bulan di dalam rahim disambut oleh suami dengan begitu cool sekali. Macam tak percaya dan sekelip mata. Sebenarnya seminggu sebelum saya bersalin memang ada keluar darah sedikit dan doktor dah warning saya perlu berhati-hati. Memandangkan rumah berada di tingkat 6 dan kelas pengajian pula hari-hari, terpaksa memandang sepi nasihat doktor, dan akibatnya saya bersalin pre-matured.

Anak kedua juga, alhamdulillah bersalin dengan tenang dan bersyariat. Ketika ini saya bersalin di Hospital Tibah, Tonto, Mesir. Hospital waqaf ini memberi banyak kebajikan kepada pelajar. Rasanya kami hanya membayar dengan kos yang rendah dan mendapat layanan yang sungguh baik walaupun saya adalah warga asing. Alhamdulillah, daripada doktor sehingga pembersih hospital, para kakitangan adalah di kalangan wanita. Jadi, saya tidak perlu risau hal jantina dan aurat ketika bersalin.

Anak ketiga, bersalin di Malaysia dan keadaan ini menimbulkan risau dan trauma saya sehingga sekarang. Saya tidak dilayan dengan adil, dimarah, ditengking, disindir dan tidak dijaga aib. Allahurabbi, sukar sungguh keadaan ketika itu rasanya. Setelah sahaja saya bersalin, tudung saya tidak tahu  dihumban ke mana, padahal ketika diarah membuka tudung, saya pegang kemas tudung supaya senang dipakai ketika masuk wad nanti. Akibatnya, saya disorong ke dalam wad dengan tidak memakai tudung walaupun saya merayu supaya dipakaikan apa-apa sahaja yang boleh tutup kepala. Waktu itu adalah waktu melawat, suami di luar tidak jadi senyum, malah membeliakkan matanya. Kenangan yang amat pahit untuk ditelan.

Barangkali perkara inilah yang ditakutkan oleh ibu-ibu yang mahu bersalin, pengalaman sahabat yang bersalin secara pembedahan juga tidak kurang hebatnya trauma mereka. Pada saya, selagi kita ini memegang title hamba Allah, tiada apa yang perlu disombongkan. Berakhlak mulia itu satu ibadah dan bersikap jujur dan sopan itu satu integriti. Jadi, jika setiap kita merasakan tugas adalah satu amanah, saya rasa tidakkan timbul ibu-ibu, anak-anak dan warga emas yang takutkan hospital, malah rasa-rasanya hospital dahulu yang dicari ketika sakit nanti.

Saturday, 14 December 2013

27 : Bangladesh dan Kok Lanas

Abdul Qader Mulla telah dihukum gantung oleh oleh kerajaan Awami League Bangladesh. Beliau adalah Penolong Setiausaha Agung Jamaat e Islami dan dihukum gantung oleh hakim yang korup juga di bawah pemerintahan kerajaan pentadbiran Syeikh Hasina. Pembunuhan ini adalah satu hukuman yang kejam, hanya menguntungkan tindakan politik parti lawan. Kesalahan yang direka-reka dengan alasan beliau disabitkan kesalahan jenayah kemanusiaaan semasa perang 1971 yang menuntut kemerdekaan adalah tidak masuk akal.

Solat jenazah Syeikh Abdul Qader Mulla
Hukuman dilakukan pada 11 Disember 2013 dengan penuh kezaliman. Gelombang revolusi telah tercetus dengan sesi hukuman ini. Selepas hukuman gantung dilakukan, amat ramai penduduk yag meraikannya buat kali terakhir di dalam solat jenazahnya.

Mudah-mudah, beliau diberikan kemuliaan oleh Allah jalla wa 'ala dengan menggapai syahid. Kata-kata terakhirnya yang menjadi motivasi buat kita :
"Aku telah menjadi pelindung kalian. Jika kerajaan membunuhku tanpa keadilan, maka matiku itu syahid. Selepas kesyahidanku, Allah Maha Besar yang akan menjadi pelindung kalian. Dialah sebaik-baik Pelindung. Maka janganlah kalian khuatir.


Aku memang tidak bersalah. Mereka hendak membunuhku kerana aku terlibat dengan gerakan Islam. Bukan semua orang bertuah untuk mati syahid. Sesiapa yang dikurniakan syahid oleh Allah, maka dia sememangnya orang yang bertuah. Jika aku menerima kesyahidan, maka inilah pencapaian yang terbaik dalam hidupku. Setiap titis darahku akan menambah kemaraan gerakan Islam dan menyebabkan kehancuran penindas. Aku tak risaukan diriku. Aku begitu prihatin dengan masa depan negara dan gerakan Islam. Setahu aku, aku tidak pernah buat salah.  
Aku telah menginfakkan diriku sepenuhnya untuk gerakan Islam untuk menyelamatkan orang-orang Bangladesh. Aku tidak pernah tunduk pada ketidakadilan dan tidak akan sekali-kali di masa depan. Tak terlintas di fikiran untuk aku memohon belas kasihan daripada pihak berkuasa yang mementingkan keduniaan. Allah penentu kehidupan dan kematian. Kematianku tidak akan terjadi berdasarkan keputusan orang lain. Masa dan hari kematianku hanyalah mengikut takdir Allah. Maka aku redha menerima takdir Allah dengan sebaiknya. 
Bersabarlah kalian. Keredhaan dan keampunan Allah hanya diperoleh melalui kesabaran dan toleransi. Hanya jaminan keselamatan di Akhirat menjadi keinginanku. Aku memohon doa dan sokongan orang ramai agar syahidku diterima. Sampaikan salamku pada rakyat atas sokongan dan restu mereka."




Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas





Keesokannya 12 Disember 2013, kami dikejutkan pula kes pembunuhan di MTS Kok Lanas, Kelantan. Kesedihan dan kekeliruan melanda MTS Tanah Merah, kerana merasakan kes ini terlalu dekat kerana kami berkongsi silibus dan sistem yang sama.

Maahad Tahfiz Sains kelolaan YIK mempunyai 2 buah sekolah induk dan 2 buah sekolah cawangan. Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah adalah sekolah induk yang disediakan untuk pelajar perempuan dan Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas adalah sekolah induk yang disediakan untuk pelajar lelaki. Cawangan MTS pula berada di Tumpat dan Bachok.

Mudah-mudahan segala kekeliruan dan kesedihan dapat ditamatkan dalam masa yang singkat. Polis masih mengatakan kes ini masih dalam siasatan. Mudah-mudahan arwah ditempatkan dalam kalangan hamba yang soleh dan dapat membahagiakan ibu bapanya di akhirat kelak.

Thursday, 12 December 2013

26 : Hari khatam hafazan Al Quran ('Idul Qurra') MTSTM

Tanggal 9 Disember 2013 bersamaan 6 Safar 1435H, kami warga Maahad Tahfiz Sains meraikan pelajar khatam hafazan Al Quran bagi sesi 2013. Selama 2 bulan team ajk pelaksana 'Idul Qurra' bertungkus lumus bagi menjayakan program ini.

Alhamdulillah, pagi yang cerah dan tenang, menyedapkan hati semua guru, memandangkan 3 hari sebelum itu MTS telah dikunjungi banjir yang agak teruk. Jalan tidak becak, pagi yang cerah dan perjalanan majlis yang menepati waktu, memang Allah permudahkan perjalanan majlis ini.

Saya terkenangkan majlis 'Idul Qurra' ketika di Darul Quran dulu. Masih terngiang-ngiang doa yang dibacakan Ustazah Hasmah ketika saya khatam hafazan dahulu dan masih terkenang-kenang majlis 'Idul Qurra' bagi meraikan kami yang khatam hafazan Al Quran, hari yang barakah itu mengundang muhasabah saya terhadap Al Quran yang dikendong di dalam dada.

Hari khatam ini banyak keistimewaan dan barokahnya. Maklumlah di dalam majlis ini dipenuhi dengan bacaan ayat-ayat Al Quran dan zikir ke hadrat ilahi dan selawat ke atas nabi s.a.w. Memang tiada nas yang mengatakan harus membuat majlis bagi meraikan hafazan Al Quran tetapi kita boleh mengambil ibrah daripada amalan sahabat nabi (Anas bin Malik r.a) dengan menghimpunkan keluarganya di dalam majlis khatam anjurannya dan berdoa sepanjang majlis tersebut.

Sedikit gambar kenangan :


 pulut pemberian ibu bapa untuk di makan bersama selepas majlis  

Majlis khatam hafazan Al Quran sedang berlangsung

MC yang mantop teacher War

Pelajar bergambar bersama guru-guru lelaki

Bergambar bersama ibu-ibu









Saturday, 7 December 2013

25 : Kita glamour di neraka!

Rimas benar lihat pelbagai iklan yang keyword nya adalah muslimah! Baju sendat, jarang dan menampakkan aurat, hanya sesuai dipakai di dalam rumah di hadapan suami. Berbaik sangka, membelinya hanya dipakai di hadapan mahram sahaja, tetapi model yang memperagakan pakaian tersebut tidak boleh dimaafkan.

Lihat sahaja iklan-iklan di bawah, menyakitkan mata melihat dan pemahaman tentang jubah, pemakaian muslimah disalah ertikan.



 
Hati-hati kita sebagai pembeli mahupun penjual. Ingat perintah Allah taala dalam surah Al Ahzab yang bermaksud :

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." 

Firman Allah lagi dalam Surah An Nur :

Dan katakan kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka menahan sebahagian penglihatan, memelihara kehormatannya dan tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya) selain daripada yang nyata (mesti terbuka daripada bahagian badannya yang sangat perlu dalam pekerjaan sehari-hari, seperti mukanya dan tapak tangan). Dan hendaklah mereka sampaikan kudungnya ke leher (tutup kepalanya sampai ke leher dan dadanya), dan tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya), kecuali kepada suaminya, bapanya, bapa suaminya, anak-anaknya, anak-anak suaminya, saudara-saudaranya, anak-anak saudara lelaki, anak-anak saudara perempuannya, sesama perempuan Islam, hamba sahaya kepunyaannya, lelaki yang menjalankan kewajibannya tetapi tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan - umpamanya pelayan-pelayan lelaki yang sudah tua dan tiada lagi mempunyai keinginan kepada perempuan) dan kanak-kanak yang belum mempunyai pengertian kepada aurat perempuan. Dan janganlah mereka pukulkan kakinya, supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi (misalnya melangkah dengan cara yang menyebabkan betisnya terbuka atau perhiasan seperti gelang/rantai kakinya nampak). Dan taubatlah kamu semuanya kepada Allah, hai orang yang beriman, supaya kamu beruntung. 
 

Hadis Rasulullah untuk peringatan bersama :

Asma binti Abu Bakar menemui Rasulullah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasulullah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari.

Pesanan untuk pembeli :
1. Fahamkan definisi sebenar-benarnya aurat seorang perempuan ketika di luar rumah.
2.Belilah pakaian yang menuruti syariat dalam berpakaian.
3.Pakaian mestilah longgar, labuh, corak yang tidak keterlaluan yang boleh mendatangkan fitnah, tudung bawah paras dada dan longgar.
4. Pakaian yang tidak untuk bermegah-megah.

Pesanan untuk penjual pakaian :
1. Fahamkan definisi sebenar-benarnya aurat seorang perempuan ketika di luar rumah.
2. Sentiasa membuat klasifikasi baju mana yang sesuai dibeli untuk dipakai di dalam rumah dan baju mana yang sesuai dibeli untuk dipakai di luar rumah.
3. Sentiasa perbetulkan niat dalam berniaga dengan mencontohi sunnah Rasulullah S.A.W bukan semata-mata mendapatkan duit sahaja.
4. Elakkan menjual pakaian yang terang-terangan menjadi sumber maksiat sebagai contoh legging, jubah yang ketat, pendek, terlebih fesyen, tudung yang pendek menampakkan bentuk dada, skirt yang singkat.
5. Sentiasa berpesan-pesan dan nasihat-menasihati ketika berjualan.

Sama-samalah kita saling ingat-memperingati, kerana zaman ini telah di datangi fitnah yang dahsyat, agar kita sebagai muslimah mukminah tidak glamour di neraka Allah nanti sebagaimana Rasululllah menceritakan dahsyatnya fitnah seorang wanita ketika baginda melawat nerakaNya dalam kisah isra' dan mi'raj.

Thursday, 28 November 2013

24 : Perkara sunnah di hari Jumaat

Sayyidul ayyam (penghulu segala hari.), hanya bertemu sekali seminggu sahaja. Sementelah kedatangannya pun sesekali, dia telah dijadikan hari yang begitu istimewa oleh umat Islam. Bagaimana kita perlu menyemarakkan sepanjang harinya dengan amalan yang disukai Nabi S.a.w, di mana ianya nanti bakal membekalkan pahala dan barakah yang berpanjangan.



Antara sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w yang disepakati ulama' antaranya:


                        
1)Membaca surah Al kahfi.

Rasulullah s.a.w telah bersabda : "Sesiapa yang membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat, maka Allah meneranginya di antara dua Jumaat" diriwayatkan oleh Abu Saied Al Qudri dan dikelaskan sebagai sahih oleh Imam Hakim.

2)Memperbanyakkan selawat ke atas nabi.

Dari Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah s.a.w telah bersabda :" orang yang dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat kelak, adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku".

3)Niatkan mandi sunat di hari Jumaat.

Setiap pagi kita mandi, tetapi pada hari Jumaat jadikan mandi kita mandi yang istimewa dengan berniat mandi sunat. Saranan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh An Nasaie, At Tirmidzi dan Ibnu Majah yang dikelaskan sebagai hadis sohih " Barangsiapa yang berwudhu' pada hari Jumaat, maka itu adalah baik. Namun barangsiapa yang mandi pada hari itu adalah afdhal".


4)Memperbanyakkan doa dan zikir di hari Jumaat

Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :" Di hari Jumaat terdapat satu waktu yang mana tidaklah seorang itu menunaikan solat lalu memanjatkan doa pada waktu tersebut melainkan Allah memberi apa yang diminta". Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Perkara di atas adalah antara amalan-amalan besar dan paling asas yang Rasulullah anjurkan supaya kita sentiasa bermotivasi menjalani amalan-amalan berfaedah di hari ini. Tidak terlambat lagi untuk kita sama-sama menuai amalan pada hari ini, in sya Allah.

Friday, 22 November 2013

23 : Lempeng dan sambal tumis


Pagi ini tiba-tiba teringin makan lempeng cicah sambal tumis. Ketika santai memasak, anak-anak datang mengacau. Alang-alang mengacau saya memasak, terus minta dua beradik tu tolong memasak. Wah suka benar nampak!

Teringat zaman saya kecil-kecil dahulu, inilah kegemaran kami ketika bersarapan. Kalau bukan lempeng pun, jemput-jemput atau nasi goreng, kalau lempeng dan jemput-jemput tu saya lah pemasaknya. Nasi goreng kurang pandai, maklumlah masih kecil lagi waktu itu, darjah 3 seingat saya.

Teringat lagi, saya masak lempeng, siap 1, habis 1 di makan adik-adik, siap 1, habis 1, akhirnya nangis kesedihan, kelakar betul ingat zaman kecil-kecil dulu. 

Saya bercerita dengan anak-anak, kami kecil-kecil dulu makan pun berjimat, maklumlah ramai beradik. Kecil-kecil lagi dah bagi tugasan, selalunya saya bahagian masakan, mesti masak sebelum ibu ayah balik kerja, tapi masak yang asas saje lah, rumah pula mesti kena clear sebelum jam 1 petang sebelum ibu ayah balik kerja, terima kasih sungguh pengalaman lalu banyak mengajar skill kehidupan.

Esok, sudah mula sekolah semula, back to school setelah seminggu bercuti. Anak-anakpun mula kelas intensif esok mungkin sehingga akhir Disember. Kehidupan rasa tiada 'life' bila memberi laluan suami sedang sambung belajar sekarang. Aduuuh ! fasobrun jamil, pesan suamiku selalu.

22 : Kesian diorang, mesti sejuk!

Sudah 2 hari bumi Tanah Merah ditimpa hujan yang agak lebat. Suhu dalam rumah terasa begitu sejuk. Anak-anak liat mandi pagi, mana tidaknya, kami mandi menggunakan air yang di tadah di dalam kolah, menyewa rumah kampung, biasalah. Mahu menjerang air untuk anak-anak rasa memanjakan sangat. Bila malam pula, lain ceritanya. Masing-masing sudah bersedia dengan selimut masing-masing untuk kalis sejuk.

Ketika saya di Mesir dahulu, saya kurang gemar waktu musim sejuk. Bukanlah tidak menghargai nikmat cuaca, tetapi mungkin saya yang tidak pandai urus emosi. Musim sejuk saya jadi kurang produktif. Bayangkan, kadang-kadang suhu mencecah - 0 darjah celcius, sejuknya Allahurabbi! Bercakap keluar wap, mahu ambil air sembahyang, mujahadahnya tinggi sungguh. Lagi pula saya pernah duduk di rumah di tingkat paling atas, sakhonah(pemanas air) tidak menjadi, pemanas udara pun tiada, ada asma pula, mujahadah terbaik saya rasa setakat ini!

Nikmat sungguh kan musim hujan di Malaysia, tidaklah serupa di Timur Tengah dan negara-negara yang secuaca dengannya. Setakat kita musim sejuk atau lebih tepatnya musim tengkujuh, hujan dan sejuk sahaja, lebih-lebih banjir.

Pernah tak kita terfikir orang-orang yang susah, kurang pendapatan?Atap rumahnya mungkin bocor, anak-anaknya tidak cukup selimut untuk berlindung, mungkin mereka kelaparan, musim hujan, kan selalu lapar.  Kesiannya, mereka!

Pergi jauh sikit, agaknya apa yang terjadi kepada  pelarian  Syria, Palestin dan mereka yang dicabul hak nya? Masya Allah wa tabarakallah! Tidak terkata penderitaan mereka.

Di Palestin, mesti mereka sedang kelaparan, kesejukan, menderita dan kesusahan. Mana tidaknya, mereka kan di serang lagi oleh zionis lakknatullah. Sudahlah Negara Palestin di sekat daripada kemasukan pelbagai barang dan kemudahan, termasuklah elektrik. Allah, kesiannya mereka! Tiada selimut tebal, tiada baju tebal kalis cuaca -0 darjah celcius, tiada makanan, tiada elektrik, tiada sumber air bersih, tiada sumber makanan. Allahu, dengan engkau sahajalah nusrah bagi mereka.

Di Mesir, semangat penduduknya kembali bangkit seiring hadirnya musim sejuk. Mahasiswa bangkit kembali bagi melawan kudeta, sehinggakan telah beberapa orang syahid ditembak hidup-hidup. Iya, mereka menembak dalam asrama, mereka menggeledah universiti dan sekolah bagi mencari pengganas dan pembangkang. Allahu, semangat mereka kuat, berbanding kami yang manja melawan musim sejukMu. Nusrahmu ku dambakan buat mereka di sana.

Di Syria, ada kanak-kanak yang mati akibat kesejukan. Pelarian Syria di Jordan, sudahlah mereka di tindas di bumi tersebut, perempuan-perempuannya dieksploitasi, tiada bantuan peralatan kelengkapan yang diperlukan sehinggakan mati kerana kesejukan di bumi saudara seislam mereka!

Malam tadi saya menunjukkan gambar-gambar pelarian Syria dan Palestin kepada anakanda-anakanda yang liat mandi dan kadang-kadang malas ini. Mulut mereka tak habis-habis berkata "kesiannya diorang, mesti sejuk, camana kita nak bagi selimut kita ni kat dia?"

Ya Allah, bantulah mereka yang dalam kesusahan, mudah-mudahan mereka kuat dalam menjalani ujianMu. Jadikan kami ini, hamba yang selalu bersyukur atas segala ni'mat yang telah kau kurniakan. Maafkan kami kerana tidak dapat menolong dan berkongsi rasa,  maafkan kami kerana mewah dan manja, maafkan kami selalu bergelak ketawa. Mudah-mudahan Allah menolong mereka dengan nusrahNya yang sentiasa berkunjung tiba dan mengangkat darjat mereka, ameen.